Skip to main
Logo Malaysiakini

6 kluster baru dikesan di Sabah, Selangor dan KL

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Enam kluster baru Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, membabitkan empat di Sabah serta masing-masing satu di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat yang di Sabah itu ialah melibatkan Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jesselton, Kluster Dermaga dan Kluster Tempasuk.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah 180. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Kluster PTS Sibuga, ia melibatkan daerah Sandakan dengan kes indeks (ke-35,885) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

Setakat ini, katanya, sejumlah 324 individu disaring dengan 104 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Jesselton dikesan di Kota Kinabalu, Sabah dengan kes positif hasil ujian saringan di tempat kerja pada 28 Nov lepas dan sehingga kini seramai 181 individu disaring dengan 44 telah dikesan positif.

Noor Hisham berkata Kluster Dermaga di Sandakan melibatkan kes indeks ke-25,325 yang dilaporkan positif pada 24 Okt lepas hasil saringan individu bergejala.

Susulan itu, 297 individu disaring dengan 34 kes dikesan positif Covid-19 setakat ini.

Bagi Kluster Tempasuk yang dikesan di Kota Belud, ia melibatkan kes indeks ke-56,849 yang dilaporkan positif pada 24 Nov melalui saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, sejumlah 149 individu disaring dengan 12 kes positif.

Di Selangor, Kluster UD SS2 dikesan di daerah Petaling dengan kes indeks ke-61,360 dilaporkan positif Covid-19 semalam hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, 40 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif wabak itu.

Di Kuala Lumpur, Kluster Tapak Bina Awan Baru dikesan di daerah Kepong dan Cheras dengan kes positif Covid-19 dilapor hari ini melalui saringan bersasar terhadap pekerja di sebuah tapak pembinaan.

Sehingga kini, seramai 442 individu disaring dan 31 kes dikesan positif.

Noor Hisham juga berkata dua kluster diisytihar tamat hari ini iaitu Kluster Menara dan Kluster Simera.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, terdapat 355 kluster dilaporkan di seluruh Malaysia sehingga hari ini.

- Bernama