Skip to main
Logo Malaysiakini

Harimau kumbang 'baham lembu' di kampung di Negeri Sembilan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menasihati penduduk supaya tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran bebas susulan harimau kumbang yang didakwa membaham dua ekor lembu di Kampung Tengah, di negeri itu masih belum ditangkap.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata pada masa ini pihaknya sedang menjalankan pemantauan berterusan selain turut memasang perangkap sejak 14 Nov lepas, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir ia dilihat.

“Setakat ini, kita masih belum dapat menjejaki hidupan liar dilindungi itu, bagaimanapun, kami masih perketatkan pemantauan.

"Harimau kumbang itu berkemungkinan sesat dan keluar dari hutan untuk mencari makan. Jadi haiwan ternakan yang berkeliaran secara bebas di sekitar kampung akan menjadi mangsa dibaham haiwan yang keluar dari habitatnya," katanya ketika dihubungi Bernama di Seremban, hari ini.

Beliau berkata orang ramai turut dinasihatkan tidak melakukan provokasi terhadap haiwan berkenaan dan diminta menghubungi Perhilitan sekiranya mempunyai maklumat mengenai keberadaan haiwan itu untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Baharin Mohamad, 52, mendakwa dua ekor lembu ternakannya dibaham harimau kumbang pada kejadian 30 Okt dan 5 Nov lepas.

"Saya menternak 75 ekor lembu namun tidak membelanya di dalam kandang sebaliknya dilepas bebas di sekitar kebun berhampiran. Pada awalnya, saya ingat ia adalah perbuatan khianat tetapi setelah melihat kesan gigitan pada tengkuk lembu yang mati, ia adalah perbuatan haiwan buas.

"Sebelum ini, ramai penduduk mendakwa melihat kelibat haiwan kumbang di sekitar kampung itu. Rakan-rakan lain dari kampung berhampiran juga memberitahu harimau kumbang itu turut masuk ke kawasan kampung mereka serta membunuh haiwan ternakan penduduk," katanya.

- Bernama