Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mana lagi untung, perkukuh PH atau gabungan politik besar?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 9 Mei 2018 sejarah baru tercipta di Malaysia. Rejim Parti Perikatan/Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama lebih enam dekad telah ditumbangkan oleh pakatan parti oposisi baharu – Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan PH dalam menewaskan BN telah mengejutkan ramai pengamat politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan penuh bagi kesemua 222 kerusi Parlimen selepas berakhir proses penjumlahan undi pada 4.45 pagi pada 10 Mei 2018.

BN memperoleh 79 kerusi, PAS (18), PKR (104), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan bebas (3). Secara keseluruhannya, jumlah peratusan pemilih yang keluar mengundi pada PRU-14 lalu adalah 82.32 peratus (12,299,514 orang) daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar bagi PRU-14 iaitu 14,940,624 orang.

PH berjaya menewaskan BN dan PAS pada peringkat kerusi parlimen dengan 122-79-18.

Apabila keputusan PRU-14 meletakkan gabungan yang paling kurang membincangkan isu-isu yang eksklusif kepada etnik dan agama sebagai pemenang, maka ia adalah merupakan satu pengukuhan kepada wajah politik baru yang lebih menekankan wacana nasionalisme dan kesejagatan, keadilan sosial, peranan wanita dan pemuda, hak asasi manusia, kesaksamaan ekonomi dan layanan terhadap kelas masyarakat yang berbeza.

Faktor-faktor kemenangan PH

Kerjasama dalam kalangan parti di Malaysia seperti DAP, PKR dan PAS dilihat bermula semenjak tahun 1999 dan dari situ dapat diperhatikan berlaku pasang surut dalam hubungan kerjasama tersebut.

Selepas perpecahan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1996 sekali lagi cuba mewujudkan kerjasama yang dikenali sebagai Barisan Alternatif pada tahun 1999.

Barisan Alternatif berjaya menggabungkan DAP dan PAS selepas September 1998. Hasilnya memperolehi sebanyak 42 kerusi parlimen daripada kerjasama tersebut.

Selepas berjaya mengurangkan BN dari segi undi popular dan mengalahkan beberapa timbalan menteri dan menteri sendiri, berlaku perbezaan pendapat antara parti komponen dalam Barisan Alternatif, yang seterusnya membawa kepada perpecahan Barisan Alternatif.

Kesan dari perpecahan ini menyebabkan semua parti-parti kalah teruk dalam pilihan raya tahun 2004.

Selepas kegagalan Barisan Alternatif ini, sebuah lagi pakatan pembangkang baru cuba diwujudkan yang digelar Pakatan Rakyat, yang dibentuk pada 1 April 2008.

Walaupun Pakatan Rakyat itu dilihat begitu gagah dan berjaya menang dengan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun 2013, namun akhirnya Pakatan Rakyat ini berpecah juga pada tahun 2015.

Ketika PRU13 pada 2013, Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS yang memasuki pilihan raya mendapat purata anggaran undi Melayu di seluruh negara sebanyak 35 peratus. Dengan jumlah ini dan bersama undi etnik-etnik lain, PR mendapat sebanyak 89 kerusi di peringkat Parlimen. Satu andaian yang dibuat dan selalu disebut-sebut adalah 35 peratus undi etnik Melayu itu hasil daripada undi penyokong parti PAS kepada PR.

Apabila PR dibubarkan dengan ketiadaan PAS dan penyertaan Amanah, terdapat andaian bahawa 35 peratus undi etnik Melayu kepada PH akan lupus. Namun, semua andaian tersebut dibuktikan tidak benar. Dalam keputusan PRK Kuala Kangsar, didapati sebahagian daerah mengundi yang majoriti Melayu seperti daerah mengundi Pekan Sungai Besar, Kampung Baharu Nelayan dan Taman Berkat di Sungai Besar dan Daerah Mengundi Manong di Kuala Kangsar, undi Amanah mengatasi PAS.

Pasca perpecahan Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan yang mendukung aspirasi menumbangkan kerajaan BN telah tertubuh pada 22 September 2015.

Tanggal 10 Mei 2020 menjadi detik bersejarah apabila PH diberikan mandat menubuhkan kerajaan dan mentadbir negara.

Antara faktor utama Pakatan Harapan PH berupaya menumbangkan Barisan Nasional adalah kesepaduan parti-parti pembangkang di bawah naungan PH ketika itu cukup utuh dan padu dengan kempen seantero negara dengan penerangan isu semasa kepada rakyat.

Bahkan PRU-14 yang lalu kelemahan kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional terserlah apabila tiga presiden parti - MCA, MIC dan Gerakan - kalah.

Untuk rekod, dalam PRU-14, undi popular PH meningkat kepada 50.1 peratus, BN menurun kepada 31.9 peratus dan PAS hanya 18 peratus.

Untuk PRU-15, banyak yang perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan untuk mengekalkan atau menambah pola undi popular. Malah di saat yang genting ini, PH perlu mengukuhkan hubungan sesama parti komponen dengan formula tambahan, mana-mana parti pembangkang yang hendak bekerjasama dalam PRU-15, wajar dialu-alukan dengan memenuhi terma serta syarat yang ditetapkan oleh PH.

Sungguhpun sokongan pengundi Melayu untuk BN telah menurun dengan mendadak, ia tidak cukup untuk Bersatu menembusi kawasan kubu kuat Umno dan ini menyebabkan kegagalan Bersatu yang hanya mampu memenangi 12 kerusi.

Dengan situasi semasa yang keduanya bekerjasama dalam PN, kekuatan mungkin bertambah namun cabaran menyelesaikan isu pertindihan kerusi pastinya tidak mudah.

Alternatif formula 'grand coalition' yang baru'?

Berdasarkan keputusan PRU-14 yang lalu, hampir separuh iaitu 7.09 juta daripada jumlah pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia antara 21 tahun hingga 39 tahun. Majoriti pengundi merupakan mereka yang lahir selepas kemerdekaan melibatkan generasi X dan Y.

Dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baru akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh lima tahun. Justeru, pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Dengan ketidaktentuan hubungan antara parti komponen PH ketika ini dan sekiranya berlarutan dengan hal yang tidak memuaskan hati mana-mana anggota komponen, tidak mustahil perkara yang lepas ketika dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat akan berulang.

Seandainya berlaku senario terburuk iaitu polemik berterusan sehingga melemahkan gabungan sedia ada menjelang PRU-15, maka alternatif yang boleh difikirkan adalah membuat pensejajaran semula dengan mewujudkan gabungan baharu bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru.

Formula gabungan baru dengan melibatkan parti-parti pembangkang sedia ada serta mungkin parti-parti dalam koalisi pemerintah boleh dipertimbangkan. Namun, adakah formula ini akan berjaya? Belum tentu.

Berdasarkan analisis ringkas daripada beberapa kajian yang telah dilakukan, dapat dirumuskan dalam konteks politik di Malaysia; memenangi pilihan raya dan akhirnya mampu memerintah negara hanya boleh dilakukan dengan gabungan politik yang kukuh.

Kesepakatan di setiap peringkat, kepimpinan yang bergerak secara konsensus adalah ramuan terbaik sekiranya mahu PH kembali ampuh.

Kegagalan dalam mengadun ramuan tersebut bakal menatijahkan perpecahan, dan kekalahan adalah akibat akhir melalui perpecahan tersebut.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN adalah Ketua Pemuda Amanah Nasional

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.