Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua buruh Bangladesh cedera parah dihempap dinding konkrit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua pekerja warga Bangladesh yang sedang menjalankan kerja pengubahansuaian di lobi sebuah kolej swasta di Bandar Cassia, di Batu Kawan, mengalami kecederaan parah selepas dihempap dinding konkrit, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azmi Tahar berkata mangsa Moshak, 42, hancur tapak tangan kanan dan cedera parah di muka manakala rakannya, Mannan Abdul, 40, pula cedera parah di kaki serta pinggang.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang dan sebaik tiba di lokasi mendapati dua lelaki itu terperangkap di bawah runtuhan dinding tersebut sebelum kami menjalankan kerja menyelamat mangsa dengan mengangkat sisa konkrit tersebut," katanya ketika dihubungi di Batu Kawan.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dua pekerja itu sedang melakukan kerja merobohkan dinding itu sebelum ia menghempap mereka dan beberapa pekerja lain cuba membantu menyelamatkan rakan mereka namun konkrit tersebut agar berat.

- Bernama