Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: Kedai emas mungkin diarah tutup jika masih tak patuh SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Kelantan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kedai emas jika masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Tindakan itu termasuklah mengarahkan premis ditutup.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata sehingga kini masih ada pemilik kedai yang tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu dan cecair pembasmi kuman.

Katanya, pemilik kedai emas hanya memikirkan jualan semata-mata dengan mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan.

"Sehingga sekarang belum (bertindak) tutup premis dan kita akan bersama dengan pihak berkuasa tempatan untuk pantau.

"Kalau keadaan lebih berat kita mungkin arahkan tutup," katanya ketika ditemui selepas Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan orang ramai mengambil peluang untuk membeli emas susulan penurunan harga komoditi itu, menyebabkan berlaku kesesakan dan pelanggaran SOP Covid-19.

Shafien berkata, dalam tempoh dua hari setakat semalam, sebanyak 23 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai emas dan pelanggan.

"Kompaun dikeluarkan kerana kebanyakan pemilik dan pembeli gagal mematuhi SOP. Kita akui semalam mulai tular ketidakpatuhan di kedai emas berikutan harga emas yang rendah.

"Hasil pemantauan yang dibuat di seluruh Kelantan, kita mendapati ada pembeli yang sanggup bertolak dan berebut untuk membeli emas," katanya lagi.

Justeru, dia berkata polis akan meningkatkan pemantauan di kedai-kedai emas bagi memastikan pemilik dan pembeli mematuhi SOP.

"Saya juga ingin menasihatkan pemilik kedai emas supaya menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bagi memastikan kesemua pembeli mematuhi SOP ditetapkan," katanya.