Skip to main
Logo Malaysiakini

Masjid, surau sekitar Istana Negeri Kelantan diarah tutup mulai semalam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan masjid dan surau di sekitar Kubang kerian, Kota Bharu ditutup sementara, berkuat kuasa semalam.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhamamd V sebagai ketua agama Islam negeri.

"Berkuat kuasa 29 Nov solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti-aktiviti di masjid, surau dan musolla di kawasan sekitar Istana Negeri Kubang Kerian ditutup untuk sementara waktu bermula 29 November sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

"Arahan ini berikutan terdapat penularan kes Covid-19 di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, satu lagi kluster baru penularan Covid-19 iaitu kluster Hilir dikenal pasti di Kelantan.

Laporan Malaysiakini yang memetik sumber sebagai berkata, kluster Hilir melibatkan jangkitan di kalangan petugas kesihatan dan keluarga di sebuah hospital yang terletak di Kubang Kerian.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 21 kes positif direkodkan melibatkan kluster tersebut.

Sementara itu kenyataan Maik turut menyenaraikan lapan masjid di kawasan itu yang diarahkan tutup.

Ia melibatkan Masjid Raja Perempuan Zainab 2 Istana Negeri, Masjid Ehsan Jalan Tok Kenali, Surau Kubur Tok Kenali, Masjid Makmuriyah Taman Mawar, Masjid Taman Seri Aman, Masjid As Sunnah Taman Al-Qari, Masjid Iktikaf Haji Pak Ku Daud dan Masjid Al-Hadi.

"Saya mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh Allah jua," kata Tengku Mohamad Rizam merangkap Yang Di-pertua Maik.