Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga pasar malam dipenjara 5 bulan kerana tumbuk kepala ibu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gara-gara menumbuk ibu kandungnya kerana berang tidak diberikan wang yang diminta, seorang peniaga pasar malam dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif memerintahkan Abdul Halim Ahmad Fuad, 40, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Nov lalu.

Lelaki itu mengaku bersalah sengaja mencederakan ibunya, Rahyah Abd Rahman, 70, di sebuah rumah di Jalan Jambu Golok, Taman Seri Delima, Sentul, pada 7.30 pagi, 28 Nov lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memarahi dan menumbuk kepala ibu kerana wanita itu tidak memberikan wang yang diminta. Mangsa kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan.

Terdahulu, Abdul Halim yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mengalami masalah psikologi.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor, mangsa seorang warga emas dan tinggal serumah dengan tertuduh.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Selayang, seorang penganggur mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya dengan memukul di bahagian kepala dan badan mangsa, Rabu lepas.

Masshahrudin Mohames Soa’aid, 37, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya berusia 65 tahun di sebuah kedai dobi di Jalan Permai 1 Selayang Permai, Batu Caves, Gombak Seloangor pada 9 pagi, 25 Nov lepas.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tidak mempunyai penjamin dan menetapkan 25 Jan tahun depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama