Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan pertama ujian klinikal vaksin fasa ketiga dijangka keluar minggu depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, salah satu syarikat yang membuat vaksin Covid-19 kemungkinan besar akan mengeluarkan laporan pertamanya pada ujian klinikal fasa ketiga pada minggu depan.

“Kita hanya berunding dengan 10 syarikat dan kami dimaklumkan bahawa salah satu syarikat kemungkinan besar akan dapat memberikan laporan dari ujian klinikal fasa ketiga tersebut,” kata Noor Hisham pada sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini .

Sebelum ini, Noor Hisham berkata kementerian belum menerima sebarang laporan dari mana-mana syarikat berhubung ujian klinikal fasa ketiga tersebut.

Buat masa ini, terdapat 12 syarikat yang membangunkan vaksin Covid-19, tetapi Malaysia hanya berunding dengan 10 daripadanya.

Pada 27 Nov, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk diberikan kepada 30 peratus rakyat negara ini.

Dia berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah menandatangani perjanjian pembelian awal pada 24 November dengan syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer untuk bekalan 12.8 juta dos vaksin, yang akan mencukupi untuk 6.4 juta orang atau 20 peratus penduduk.

Ia juga bergantung pada vaksin Pfizer Covid-19 yang mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS dan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Adham juga telah menandatangani perjanjian dengan Covax pada 22 Nov untuk menyediakan vaksin kepada 10 peratus lagi rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Noor Hisham menegaskan bahawa perjanjian itu bergantung kepada adakah vaksin itu diluluskan oleh FDA dan NPRA.

Dia juga mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan juga akan terus memantau dan menilai keberkesanan vaksin tersebut serta kesan sampingannya.

Antara faktor mengapa Malaysia menandatangani perjanjian ini lebih awal adalah kerana bimbang tidak dapat bekalan yang secukupnya selepas ia mula terjual.

“Kebimbangan kami adalah apabila vaksin telah didaftarkan, ia akan jadi seperti ventilator pada gelombang kedua, di mana kita ingin membelinya, tetapi tidak cukup kerana negara lain juga ingin membelinya,” katanya.