Skip to main
Logo Malaysiakini

15 lelaki ditahan kerana disyaki terbabit curi ekzos kereta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lima belas suspek lelaki termasuk dua warga Bangladesh yang disyaki aktif dalam kegiatan mencuri ekzos kenderaan, ditahan di beberapa lokasi sekitar Rawang, Gombak dan Sentul, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kegiatan suspek yang berumur antara 27 dan 56 tahun itu didapati mula aktif sejak pertengahan tahun ini.

Katanya mereka dipercayai terlibat dengan sembilan kes berkaitan curi ekzos kereta di Selangor.

Menurut Arifai siasatan mendapati suspek memperoleh keuntungan antara RM500 dan RM2,000 mengikut jenis ekzos curi yang sudah dipotong dan dijual kepada pemilik premis menjual besi buruk dan kedai menjual ekzos.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini dia berkata, semua suspek direman dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kes curi.

- Bernama