Usaha kesan kontak rapat terjejas dengan peningkatan mendadak kes positif
COVID-19 | Peningkatan drastik kes Covid-19 sejak bermulanya gelombang ketiga menyebabkan pegawai kesihatan yang melakukan proses menjejak kontak rapat pesakit berdepan cabaran besar.
Seorang pegawai kesihatan yang berpusat di Klang memberitahu Malaysiakini, proses menjejak kontak ditangguhkan sejak jumlah kes positif di daerah itu meningkat.
"Biasanya dalam tempoh dua hari - jika anda adalah kontak rapat - anda akan dimaklumkan untuk pergi menjalani ujian saringan.
“Kecepatan proses itu bergantung kepada kepada setiap daerah. Contohnya di Klang, sekarang ini lambat kerana kami berdepan banyak kes, tetapi di tempat lain saya yakin ia masih pantas,” kata pegawai kesihatan terbabit yang enggan namanya didedahkan itu.
Walaupun dengan teknologi seperti aplikasi mudah alih MySejahtera - yang dirancang untuk membantu menjejak kontak rapat pesakit Covid-19 - prosesnya masih tidak begitu cekap jika berlaku pertambahan kes yang ketara.
Pegawai terbabit berkata mereka tidak mempunyai waktu mencukupi untuk menyaring semua catatan dalam MySejahtera bagi setiap pesakit kerana kes yang diterima.
Justeru katanya mereka biasanya melakukan proses menjejak kontak rapat terbabit dengan menemu bual kes indeks serta individu lain yang berkaitan.
Katanya, cara itu memadai kerana hubungan rapat didefinisikan sebagai seseorang yang terdedah kepada pesakit selama 15 minit atau lebih, yang jaraknya kurang dari satu meter di antara mereka, mempunyai hubungan fizikal dan tidak memakai topeng muka.
Dengan kriteria yang ketat untuk hubungan rapat, kebanyakannya adalah seseorang yang diketahui oleh pesakit secara peribadi.
Sebaliknya, kata pegawai kesihatan itu lagi, teknologi semata-mata mungkin tidak dapat mengesan kontak rapat yang diperlukan.
"Ada banyak kes sekarang... ketika ada kes indeks, biasanya akan ada banyak kontak rapat dan ketika keadaan begitu, kita memiliki sumber tenaga yang terbatas.
"Sebagai contoh, kami akan menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi kontak rapat tetapi kerana ini bukan talian tetap, beberapa orang menganggap kami penipu, jadi kami perlu menjelaskan kepada mereka bahawa kami bukan penipu.
"Sekiranya kami tidak dapat menghubungi mereka melalui panggilan telefon atau mereka masih tidak mempercayai kami, kami akan mengunjungi rumah mereka, kami tidak akan membiarkannya," tambah pegawai kesihatan itu.
Ada ketikanya, kata dia, untuk meyakinkan orang bahawa ia bukan penipuan mereka mungkin meminta orang terbabit menghubungi talian tetap untuk mengesahkan bahawa mereka bekerja untuk Kementerian Kesihatan.
Cabaran lain yang mereka hadapi ketika menjejaki kontak rapat, katanya, adalah suasana panik yang dicetuskan oleh orang ramai melalui media sosial.
Orang akan mengambil gambar atau video pemeriksa kesihatan atau pegawai yang memakai alat pelindung diri (PPE) ketika mereka mengunjungi lokasi untuk menjejaki kontak rapat pesakit positif Covid-19.
Katanya gambar atau video tersebut akan ditularkan di media sosial dan ia menyebabkan stigma untuk lokasi yang mereka kunjungi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai