Skip to main
Logo Malaysiakini

Patriot: Pastikan veteran memerlukan dapat bantuan khas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan veteran angkatan tentera Persatuan Patriot Kebangsaan mahu Kementerian Pertahanan (Mindef) memastikan veteran yang benar-benar memerlukan bantuan dapat menerima dana yang diperuntukkan kepada mereka, terutama di kalangan pesara berpangkat rendah yang tinggal di kawasan terpencil.

Presiden Patriot Brig-Jen (Bersara) Mohamed Arshad Raji berkata "terdapat keperluan mendesak agar Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) segera mengemas kini rekod."

"Patriot berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan Bantuan Khas Kewangan satu kali sebanyak RM300 kepada semua veteran termasuk mereka yang tidak mempunyai pencen, yang diumumkan oleh menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2021 di parlimen.

"Walaupun RM300 bukan jumlah yang besar, ia lebih baik daripada tiada apa-apa langsung. Sejak tahun 2019, semua veteran pencen dan bukan pencen sepatutnya menerima sejumlah RM1,250.

"Pecahannya adalah seperti berikut: Bonus 2019 - RM 250; Pingat Jasa Malaysia (PJM) - RM500; dan Prihatin - RM500," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Tidak diragukan bahawa semua veteran, termasuk mereka yang tidak berpencen, menerima pembayaran RM1,250.

"JHEV mungkin tidak mempunyai rekod, termasuk perincian akaun bank semua veteran, terutama yang tidak berpencen," tambahnya.

Arshad meminta veteran yang tidak mengetahui mengenai pembayaran tersebut untuk menghubungi JHEV.

Katanya, Patriot prihatin terhadap veteran warga emas dan telah kehilangan hubungan dengan rakan mereka.

"Sebilangan besar tinggal di kawasan pedesaan dan pedalaman serta ramai yang tidak mempunyai hubungan telefon. Walau bagaimanapun, usaha mesti dilakukan untuk menghubungi mereka.

"Walaupun RM300 lambat sampai kepada mereka, isyarat pengiktirafan lebih penting - bahawa mereka pernah berkhidmat dan bersedia untuk mati demi negara," kata Arshad.

Oleh itu, Patriot meminta semua persatuan veteran supaya bekerjasama dengan JHEV dalam perkara ini.

"Patriot juga ingin Mindef dan kerajaan kita mempertimbangkan dengan serius keadaan veteran yang telah bersara sebelum 2004.

"Terdapat perbezaan yang besar dalam skala pencen antara mereka yang bersara sebelum dan selepas 2004.

"Perkara ini telah diajukan beberapa kali kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi tanpa hasil yang positif. Kami meminta Mindef dan kerajaan kita untuk mempertimbangkan perkara ini dengan serius," katanya.

[Baca berita penuh]