Skip to main
Logo Malaysiakini

Belanjawan kementerian pertanian lulus melalui undian suara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui undian suara.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata bahawa berdasarkan peraturan mesyuarat, keputusan ahli parlimen menunjukkan lebih kepada bersetuju.

"Ahli yang berhormat, perbelanjaan RUU Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi peringkat jawatankuasa dijadikan sebahagian daripada anggaran perbelanjaan," katanya.

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh Menterinya Ronald Kiandee (atas) melibatkan anggaran perbelanjaan pembangunan dan pengurusan sebanyak RM4,790,428,000 (pembangunan dan pengurusan).

Setakat ini parlimen meluluskan belanjawan untuk enam kementerian dalam undian peringkat jawatankuasa.

 Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong menyindir pembangkang yang sebelum ini berjanji untuk membuat undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa.

"Tiada undi belah bahagi pulak!

"Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

"Tokoh-tokoh PH seperti Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja), Tan Kok Wai (DAP- Cheras) ada di dalam Dewan Rakyat, manakala Dr Mahathir (bebas-Langkawi) dan Mukhriz Mahathir (bebas- Jerlun) turut hadir bersama ketika Belanjawan 2021 diputuskan," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mempersoalkan Mahathir dan Mukhriz bertindak keluar dewan selepas belanjawan Mafi diluluskan.

"Sejurus diluluskan dan tiada undi belah bahagi Mahathir dan Mukhriz terus keluar dewan.

"Saya pun hairan melihatnya. Barangkali satu lagi kebetula? Oh ya, Abang Mat (Mohamad) juga senyap saja hari ini, tak menjerit-jerit pula," kata Wee.