Skip to main
Logo Malaysiakini

Hujan lebat, air pasang punca banjir di Pasar Payang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Banjir yang melanda beberapa pusat pelancongan di Kuala Terengganu semalam, termasuk Dataran Syahbandar, Pasar Payang dan Kampung Cina, adalah disebabkan hujan yang lebat bersekali dengan air pasang besar.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Jailan Simon berkata jabatan itu telah mengeluarkan amaran waspada tiga hari lebih awal, iaitu sejak 30 Nov lalu bagi tempoh 1 hingga 4 Dis.

“Mengapa di Pasar Payang itu air tiba-tiba naik dengan cepat adalah disebabkan hujan yang lebat itu bersekali dengan air pasang besar, dan pada masa yang sama ada angin monsun timur laut menyebabkan ombak yang agak tinggi dan masuk ke daratan.

“Jadi air hujan tidak dapat turun ke laut, kerana air laut naik. Itu yang menyebabkan peningkatan air itu cepat,” katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV dengan topik ‘Monsun Timur Laut 2020’ hari ini.

Semalam, hujan lebat dalam tempoh kira-kira enam jam bermula 6 petang, menyebabkan beberapa lokasi di Terengganu mengalami banjir kilat lewat malam tadi.

Jailan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang sahih supaya lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, memandangkan amaran waspada dan cuaca buruk masih lagi berkuat kuasa terutama di kawasan Pantai Timur.

“Selain itu, dokumen penting mesti disimpan di tempat selamat dan mudah diambil. Begitu juga perlu menyimpan sedikit air bersih dan makanan kering, supaya kalau berlaku banjir kita ada simpanan makanan. Ikut nasihat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Sebelum banjir itu kalau boleh kawasan rendah kalau longkang belakang rumah ada rumput bersihkan supaya tidak menyebabkan banjir kilat. Lagi satu, jangan pergi main di tepi laut pada masa ini kerana ombak kuat terutama di sebelah Pantai Timur,” katanya.

Mengulas mengenai kesan Monsun Timur Laut kepada kawasan pantai Barat, beliau berkata pantai Barat akan mengalami hujan atau ribut petir di sebelah petang atau malam.

Ia disebabkan keadaan angin Timur Laut yang bertembung dengan angin dari Selat Melaka menyebabkan pembentukan awan convective atau kumulonimbus .

- Bernama