Skip to main
Logo Malaysiakini

1,075 kes, 11 kematian, jangkitan tertinggi di Selangor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 1,075 kes baru direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 69,095 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes kematian Covid-19 pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 376 kes (0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sebelum ini jumlah kematian tertinggi yang pernah dicatatkan adalah 12 orang pada 3 November lalu.

Semua kes kematian berkenaan, kata Noor Hisham melibatkan warga tempatan dalam lingkungan usia 50 hingga 81 tahun dengan tiga kematian di Selangor; masing-masing dua di Sabah dan Johor manakala Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan pula mencatatkan satu kematian masing-masing.

Kebanyakan kes kematian itu juga mempunyai sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi, dislipidemia, obesiti, kencing manis dan strok.

"Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,802 kes," kata Dr Noor Hisham.

Bagi tempoh 24 jam lepas, 658 kes sembuh Covid-19 dicatatkan, menjadikan jumlah terkumpul kes sembuh sebanyak 56,969 kes (83.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, 116 kes Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 46 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 508 kes (47.3 peratus). Daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan sebanyak 459 kes (90.4 peratus). 

Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 310 kes (28.8 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 78 kes (7.3 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut: Negeri Sembilan (52), Kuala Lumpur (49), Pulau Pinang (43), Kedah (32), Perak (26), Labuan (9 ), Kelantan (9), Pahang (4), Melaka (2), Sarawak (1), Terengganu (1).

Negeri-negeri lain tiada.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.