Skip to main
Logo Malaysiakini

Empat lagi kluster, tiga di Sabah, satu di S'gor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat lagi kluster baru Covid-19 melibatkan tiga kluster di Sabah dan satu di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama di Sabah dikenali sebagai Kluster Jalan Kilang, melibatkan daerah Lahad Datu dengan kes awal dilaporkan positif Covid-19 bermula 15 Nov hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang.

“Sehingga hari ini, sejumlah 104 individu disaring dengan 24 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Kluster Perdana Enam juga di Lahad Datu dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Nov hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, sejumlah 213 individu disaring dengan 25 kes dikesan positif Covid-19.

Kluster ketiga pula dikenali sebagai Kluster Jalan Kubota melibatkan daerah Tawau dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Nov juga hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sejumlah 72 individu telah disaring sehingga hari ini dengan 14 kes dikesan positif Covid-19.

Berkenaan satu kluster di Selangor, Dr Noor Hisham berkata ia dikenali sebagai Kluster Monsoon, melibatkan daerah Petaling dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Nov hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 106 individu disaring, dengan 19 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Pertambahan empat kluser baru itu menjadikan sejumlah 373 kluster dilaporkan sehingga kini, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiga kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Bukit, Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Laut, menjadikan keseluruhan kluster ditamatkan adalah sebanyak 189.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 184 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah Kluster Usaha (84 kes), Kluster Kaya (74 kes) dan Kluster Hentian (60 kes),” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.