Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan tak pilih kasih kuat kuasa akta perumahan pekerja - Menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menegaskan kerajaan tidak pilih kasih dalam penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kita tidak pilih kasih. Mana-mana syarikat yang tak mematuhi Akta 446, Jabatan Tenaga Kerja akan ambil tindakan.

“Sebab kita telah lihat, setakat ini dua syarikat besar kita telah ambil tindakan. Maka kita memang wajar (it’s only fair) untuk ambil tindakan sama terhadap semua orang. Tiada pilih kasih.

“Kita akan menguatkuasakan sistem perundangan yang sedia ada,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama antara menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia mengenai pengurusan pekerja asing.

Mesyuarat itu berlangsung di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.

Saravanan bersama Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Akta berkenaan pada awalnya diwujudkan untuk memastikan standard minimum untuk tempat tinggal pekerja di ladang dan lombong yang melebihi 20 ekar, tetapi pindaan diperkenalkan tahun lalu untuk diperluaskan kepada semua industri.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluser Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pindaan itu akan dikuatkuaskan bermula 26 Nov.

Katanya, majikan yang gagal mematuhi akta itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja di bawah akta berkenaan.

Isu kebajikan pekerja asing mendapat perhatian apabila pengabaian terhadap kebajikan mereka dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada penularan Covid-19.

Ia sehingga mencetuskan kluster-kluster baru, antaranya Kluster Teratai yang banyak membabitkan pekerja asing di syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove.

Sejak itu, banyak pihak menggesa agar kebajikan pekerja asing dijaga, contohnya seperti yang disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang menggesa agar penginapan mereka yang sempit dan sesak ditangani segera.

Disoal apakah Jabatan Tenaga Kerja ada melakukan lawatan ke asrama pekerja di kluster-kluster membabitkan pekerja kilang selain Top Glove, jawab Saravanan, jabatan itu akan mengeluarkan kenyataan balas dalam masa terdekat.

“Kita telah jalankan siasatan dan lawatan di beberapa tapak, bukan saja di Top Glove, tetapi di pelbagai syarikat pembuatan dan juga pembinaan.

“Dalam masa terdekat Jabatan Tenaga Kerja akan umumkan jumlah kompaun yang dikeluarkan dan jumlah denda dan jumlah syarikat yang terlibat,” katanya lagi.