Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan timbang beku ambil pekerja asing sektor kitar semula, 'besi buruk'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menutup penggajian pekerja asing bagi subsektor beku logam, barang lusuh dan kitar semula.

Menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, pengambilan pekerja asing untuk subsektor itu sudah dibekukan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan mahu melaksanakan pelan pengurangan dan pemberhentian penggajian pekerja asing sedia ada secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Sektor ini sudah dibekukan lama, cuma kita nak maklumkan mereka yang masih lagi bekerja ini, dia hanya akan ada tempoh tiga tahun saja.

"Selepas tiga tahun, tiada lagi (no more) - dia tak boleh lagi nak memperbaharui pas lawatan kerja sementara (PLKS) dia,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama antara menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia mengenai pengurusan pekerja asing di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.

Cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Katanya, justifikasi penutupan penggajian pekerja asing dalam sektor itu dibuat berdasarkan kepada keutamaan penggajian pekerja tempatan, pengurangan pelesen dalam subsektor logam/ barang lusuh dan kitar semula serta transformasi industri ke arah mekanisasi dan automasi.

Tambahnya, langkah itu membabitkan 2,931 pekerja asing, atau 13.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 21,154 pekerja dalam sektor berkenaan, yang turut mempunyai seramai 18,223 pekerja tempatan (86.1 peratus).

“Ramai pekerja tempatan boleh lakukan pekerjaan ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengambilan pekerja asing untuk subsektor itu telah dibekukan sejak 2009.