MB Perak jamin peralihan lancar
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memberi komitmen terhadap peralihan lancar tampuk kepimpinan negeri.
Perkara itu dinyatakan dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh selepas gagal mendapat sokongan dalam undi percaya di dewan pagi tadi.
“Saya selaku MB buat masa ini ingin memberi satu komitmen untuk memastikan transisi ke kerajaan baru akan dibuat dengan penuh berhemah. Ini kepentingan rakyat,” katanya.
Mengaku reda dengan keputusan hari ini, Faizal berharap masalah politik negara tidak dipanjangkan.
“Saya fikir kita menghadapi dengan keadaan tidak menentu ekonomi, masalah pekerjaan di kalangan rakyat dan sebagainya, masalah politik ini tidak perlu panjang-panjangkan,” katanya.
Faizal pagi tadi kalah dalam undi percaya yang dibawa oleh wakil rakyat Umno, menyebabkan Adun Chenderiang hilang majoriti sebagai menteri besar.
Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak. Satu undi rosak atau berkecuali.
Dalam ucapannya, yang mungkin terakhir sebagai menteri besar, Faizal juga menasihatkan agensi dan syarikat kerajaan negeri tidak melakukan kerja secara bertindih.
“Kita perlu memastikan semua pegawai kerajaan lebih cekap melakukan suatu tindakan dan tidak menunggu utk mengadakan mesyuarat utk kita adakan satu keputusan,” katanya.
“Jika sesuatu itu perlu dilakukan segera saya harap kita ambil peluang teknologi komunikasi yang ada hari ini untuk kita berhubung antara jabatan untuk memastikan projek atau tanggungjawab yang perlu kita sampaikan kepada rakyat dapat dilakukan dengan segera.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai