Skip to main
Logo Malaysiakini

PN, sekutu perlu cari jalan berdamai bagi bentuk k'jaan negeri baru - Faizal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri besar sementara Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, parti-parti dalam kerajaan gabungan Perak harus mencari jalan untuk berdamai.

"Ini masalah sekarang. Kita perlu mencari jalan untuk berdamai. Kita perlu mencari jalan untuk membentuk kerajaan (negeri baru)," kata Faizal kepada wartawan setelah selesai mengadap Sultan Nazrin Shah di Ipoh, Perak petang tadi.

Faizal berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian yang diambil oleh kepemimpinan PAS bahawa tiga Adun dari parti itu di Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang bakal dibentuk.

Menjawab soalan lain, Faizal percaya bahawa kerajaan PN di Perak masih utuh, tetapi mengakui bahawa hubungan antara parti komponen tegang.

"Mereka (Umno) ambil tindakan seperti pagi tadi tanpa berbincang dengan rakan-rakan (parti) lain tentunya kami dari Bersatu sebagai contoh terasa hati sikit.

"(Akan ambil masa) untuk seketika kita nak duduk balik bersembang.

"Tetapi pada saya kerajaan PN di peringkat pusat pun masih kukuh. Saya tak minta la PN di Perak berpecah pula," katanya.

Di peringkat pusat, pakatan PN-BN-GPS dilihat mempunyai hubungai yang rumit.

Bersatu dan PAS secara rasmi menjadi sebahagian daripada gabungan PN sementara Umno mengetuai gabungan BN. PAS juga merupakan sebahagian daripada hubungan rasmi dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Di Perak, Faizal pernah bergantung pada sokongan Bersatu, Umno dan PAS. Umno mempunyai 25 daripada 59 kerusi di dewan perundangan negeri, diikuti Bersatu (5) dan PAS (3).

Hari ini, ahli parlimen Umno dan Adun PH mengundi menolak usul percaya terhadap Faizal. Usul itu dibawa oleh Adun Umno.

Faizal mengatakan bahawa Sesi mengadap dengan Sultan Nazrin hanya melibatkan dirinya dan baginda saja.

Dia mengatakan bahawa Sultan Nazrin perlu mengadakan beberapa sesi mengadap sebelum memutuskan Adun yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.