Bantah roboh kuil: Jangan minum sebotol, mabuk dua tiga botol - Sanusi
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu perobohan kuil hindu pada 1 Dis lalu adalah "isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi."
Sanusi juga membidas "pihak berkepentingan" yang mengapi-apikan kekecohan berhubung isu ini.
"Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana 'mabuk todi populariti', mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang," katanya pada satu kenyataan malam tadi.
Menurut Sanusi, langkah perobohan itu dibuat supaya tataletak setiap binaan struktur di semua tempat patut berada pada tempatnya secara sah dan terkawal menurut garis undang-undang dan pentadbiran yang diletakkan di bawah agensi kerajaan.
"Ia harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun masih belum terlambat untuk melakukannya," jelasnya.
Pada Selasa, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.
Kuil yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu dirobohkan selepas tapak tersebut - yang dimiliki kerajaan negeri - mahu dibangunkan.
Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.
Antara yang membantah tindakan itu, termasuklah Menteri Sumber Manusia M Saravanan (gambar, bawah) yang menggesa Sanusi supaya menjelaskan pendiriannya berhubung kuil dan tempat ibadat.
Timbalan presiden MIC itu menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan bersendirian Sanusi merobohkan kuil itu.
Ini kata Saravanan walaupun Sanusi sudah berjanji dalam mesyuarat Julai lepas akan memaklumkan kepada beliau dan juga Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique sekiranya ada kuil yang akan dirobohkan.
Bagaimanapun, menteri besar Kedah semalam menafikan dakwaan kuil itu berusia 30 tahun atau 50 tahun.
"Sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar tentangnya.
"Bangunan itu hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, daripada asalnya sebuah berhala yang diletakkan diperdu sebatang pokok," katanya lagi.
Sanusi juga menimbulkan persoalan mengapa MIC dan DAP tidak membangkitkan isu struktur lain yang turut dirobohkan sama, seperti dapur dan gerai.
"Di Taman Bersatu itu, bukan kuil itu sahaja dirobohkan, sebuah gelanggang silat juga telah dirobohkan di bawah akta yang sama.
"Di lokasi lain di Alor Setar juga, ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.
"Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu?
"Senior politician (ahli politik kanan) seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol," perli Sanusi.
Menteri besar juga berkata sebelum ini juga terdapat kes sebuah kuil yang dirobohkan tetapi mendakwa telah diberikan tapak gantian.
"Sebelum ini mereka jugalah yang mengelak untuk mengakui bahawa satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel keretapi di Alor Setar.
"Selepas diberi tapak baru, kuil pun didirikan, mereka kembali pula mendirikan kuil di tapak asal. Notis mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh MBAS," katanya tanpa menamakan kuil yang dimaksudkan itu.
Difahamkan, Sanusi merujuk kepada satu lagi perobohan kuil Sri Madurai Veeran di Jalan Stesen Alor Setar, Kedah pada Julai lalu.
Pemimpin DAP, P Ramasamy pada 13 Julai mengingatkan menteri besar Kedah, agar tidak memutarbelitkan fakta apabila mengatakan kerajaan negeri telah menawarkan tapak alternatif bagi tempat sembahyang Hindu yang dirobohkan.
Menurut Sanusi kes itu juga diputar belitkan untuk membina persepsi bahawa "PAS adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain."
"Kononnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu sahaja," dakwanya.
Sebelum ini, menteri besar Kedah berkata walaupun MIC sebuah parti komponen BN, ia wajar diharamkan dan tidak dibenarkan bergerak bebas jika didapati "menghasut orang ramai melanggar undang-undang".
Sanusi berkata, sebagai pertubuhan berdaftar tidak boleh membela orang atau pihak yang didapati melanggar undang-undang.
"Saya ingin memberi nasihat kepada MIC Kedah dan MIC pusat, terutama sekali apabila kita terbabit dalam politik melalui sebuah parti... Parti kita ada perlembagaan, perlembagaan kita diluluskan oleh ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).
"Contohnya, dalam isu kuil, apabila kuil dibina di tempat yang tidak dibenarkan, ia melanggar undang-undang," katanya pada 2 Dis lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai