Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu cipta rekod lagi, Umno tak boleh disalahkan - Puad

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Puad Zarkashi berkata Bersatu sekali lagi mencipta rekod dalam sejarah politik negara.

Ia ekoran kegagalan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan mencukupi untuk dikekalkan sebagai menteri besar Perak.

Kata Puad apa yang berlaku di DUN Perak semalam adalah kali pertama seorang menteri besar tersingkir daripada jawatannya melalui usul undi percaya.

"PPBM (Bersatu) memang pecah rekod lagi. Pertama kali MB hilang jawatan melalui usul undi percaya. Rupanya tidak dipercayai," katanya sinis.

Sebelum ini Bersatu pernah dipersenda kerana 'mencipta rekod' apabila mempunyai seorang menteri besar untuk tempoh yang singkat.

Selepas mendapat mandat menjadi kerajaan negeri di Johor melalui PRU ke-14 lalu Adun Kempas, Osman Sapian dilantik menjadi menteri besar mulai 12 Mei 2018 sehingga 8 Apr 2019.

Dr Sahruddin Jamal, kemudian dilantik menjadi menteri besar yang baru bermula pada 14 Apr 2019.

Namun ekoran perubahan kerajaan di peringkat pusat, Adun Bukit Kepong itu terpaksa memberi laluan kepada wakil Umno Hasni Mohamad (Adun Benut) kira-kira 10 bulan kemudian.

Dua kali bukti setia kawan

Semalam Umno membawa usul undi percaya kepada Ahmad Faizal di DUN Perak namun Adun Chenderiang itu gagal mendapat sokongan mencukupi untuk kekal sebagai menteri besar.

Daripada 59 Adun yang ada, Ahmad Faizal hanya disokong 10 Adun, manakala 48 menolak dan seorang berkecuali atau membuat undi rosak.

Puad berkata Umno tidak boleh dipersalahkan dengan apa yang berlaku di Perak.

Sebaliknya kata bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu, Bersatu perlu menyalahkan diri sendiri kalau mahu.

Tambah Puad Umno sudah membuktikan semangat setia kawannya dengan Bersatu dua kali sebelum ini apabila membenarkan Ahmad Faizal menjadi menteri besar semasa Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Katanya penyingkiran Ahmad Faizal juga berlaku secara demokratik dan sah kerana diputuskan oleh DUN dan ia hanya membabitkan Ahmad Faizal.

"PAS (pula) mesti terbuka dengan apa yang berlaku sebagaimana Umno terbuka apabila PAS menyertai PN secara rasmi.

"Kerjasama politik UMNO-PAS mesti dipertahankan," katanya.