PAS Perak tunggu keputusan pimpinan pusat isu k'jaan negeri baru
PAS Perak berkata pihaknya masih menunggu keputusan dari pucuk pimpinan pusat parti mengenai pembentukan kerajaan negeri akan datang.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, bagaimanapun, berkata bahawa mandat yang mereka miliki sekarang adalah untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Bercakap kepada wartawan di Ipoh hari ini, Razman pada mulanya mengatakan bahawa keputusan kepimpinan adalah untuk menyokong kerajaan negeri yang mereka bina bersama.
"Keputusan oleh pucuk pimpinan bahawa kita kena menyokong kerajaan yang kita bina bersama. Dulu kita bina muafakat di antara PAS, Bersatu dan Umno.
"Dan kita menghadap tuanku (Sultan Nazrin Shah) dan tuanku menitah supaya kita menerima mana-mana calon yang dipilih. Jadi kita telah bersetuju mempertahankan kerajaan, kita akan pertahan kerajaan PN yang kita bersetuju bersama," katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengatakan parti itu telah memutuskan untuk tidak bergabung dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baru.
Ini setelah Umno bekerjasama dengan pembangkang di Perak untuk menyingkirkan Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu sebagai menteri besar Perak semasa undi keyakinan.
Ditanya mengenai arahan yang diumumkan oleh Takiyuddin, Razman mengatakan bahawa dia tidak dapat menafsirkan mesej itu.
"Yang itu saya tak boleh tafsir sendiri. Pada hakikat itu pandangan saya sendiri, arahan daripada pusat bahawa kita PN tetap daripada PN dan mungkin kalau ada gabungan (baru), wallah hualam, kita bincang pada masa depan.
"Setakat ini kita diberi mandat setakat mempertahankan kerajaan yang ada dan kerajaan yang ada telahpun jatuh. Pembinaan kerajaan baru kita serah kepada pucuk pimpinan," katanya.
Dia menambah kemudian bahawa mereka sedang menunggu arahan dari pimpinan tertinggi kerana isu ini melibatkan politik negara.
PAS adalah ahli PN, yang diketuai oleh Bersatu - sementara Umno mengatakan ia hanya menyokong PN.
Namun, PAS juga bersekutu dengan Umno dalam Muafakat Nasional.
[Berita lanjut menyusul]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai