Skip to main
Logo Malaysiakini

Guru al-Quran hargai kebenaran mengajar MKN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Guru al-Quran di beberapa negeri berpendapat keputusan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob membenarkan mereka beroperasi secara bersemuka merupakan tindakan yang terpuji.

Keputusan itu berkuat kuasa mulai 28 Nov seperti ditetapkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 27 Nov lalu.

Guru pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Seri Nilam Rosnani Abdul Rashid, 48, berkata dia berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kebenaran kepada guru al-Quran untuk mengajar secara bersemuka.

“Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan terima kasih kepada kerajaan kerana mengizinkan guru al-Quran untuk mengajar secara bersemuka.

“Sesungguhnya, setiap pendidikan Islam ini memang lebih baik apabila dapat (dijalankan secara) bersemuka dengan pelajar,” katanya kepada Malaysiakini.

Menyifatkan kelas pengajian al-Quran perlu diajar secara bersemuka, dia berkata kaedah itu dapat membaiki sebarang kesilapan anak murid secara langsung.

“Mengajar al-Quran perlu berhadapan dengan guru tersebut. Dia tidak sama (seperti) membaca buku bahasa Melayu atau buku cerita,” katanya yang menetap di Terengganu.

Buat sistem penggiliran

Senada dengan Rosnani, pengurus sekolah Pratahfiz An-Nahdhoh di Kedah Muhammad Afifuddin Ahmad, 26, menjelaskan kelas al-Quran perlu dijalankan secara berdepan supaya murid dapat melihat gerakan sebutan huruf di bibir guru masing-masing.

"Mereka yang belajar tanpa guru akan merangkak-rangkak membaca al-Quran.

"Natijahnya bukan setakat itu saja, malah belajar tanpa guru akan melahirkan murid yang kurang beradab," katanya.

Mohd Hafiz Mat Sulaiman juga menyambut baik keputusan kerajaan yang memberi kelonggaran kepada semua guru al-Quran untuk menjalankan kelas pengajian secara bersemuka.

Mohd Hafiz, 40, yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) memulakan tanggungjawabnya mengajar al-Quran kira-kira lapan tahun lalu.

“Saya mula mengajar al-Quran sejak tahun 2002 lagi ketika itu masih tidak bekerja seperti sekarang. Jadi, ia dikira pendapatan utama (ketika itu).

“Ketika itu saya dapat upah bagi seorang anak murid RM100, mungkin sebab ibu bapanya kesian pada saya,” katanya.

Ditanya tentang prosedur operasi standard (SOP), Hafiz berkata dia menjalankan kelas pengajian mengikut giliran semasa wujudnya Covid-19.

“SOP yang diterapkan di tempat mengaji paling asas ialah mengaji secara bergilir-gilir dan mengikut waktu yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Pada 28 Nov lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP dengan "membiasakan yang betul, dan membetulkan yang biasa" apabila menghadiri sebarang perhimpunan atau semasa berada di tempat awam.

Ini berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial yang tidak mengikut SOP.

Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, yang bermula dengan perhimpunan keluarga manakala Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara Kluster yang berpunca daripada majlis keraian.