Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perspektif politik harus berubah ikut zaman

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Siri kegagalan PH mengambil kembali kuasa daripada Perikatan Nasional (PN) bukanlah noktah dalam perjuangan politik. Usaha-usaha ini pastinya akan berterusan.

Namun demikian, setakat beberapa episod kegagalan ini, ia menjadi satu tanda aras bagaimana pilihan yang ada bagi semua parti amat sukar.

Kesukaran memilih pasangan regu untuk menubuh atau mengekalkan kuasa sebagai kerajaan semakin bertambah sukar ketika pandemik Covid-9 sedang menyerang segenap ceruk kehidupan rakyat.

Keadaan sukar ini bertambah sukarnya apabila setiap pilihan yang ada, tidak dapat berjalan dengan konsisten. Keputusan yang dibuat sering berubah di saat-saat akhir dan politik terus dalam keadaan tidak menentu.

‘Tidak menentu’ atau uncertain ini sebenarnya juga satu konsep. Di kalangan seniman pelukis, mereka mempunyai kemahiran dan cita rasa serta ‘iman’ yang berbeza antara satu sama lain dalam konteks warna.

Teori tentang warna adalah ‘tidak menentu’ atau dengan kata lain, tidak tetap, walaupun pigmen atau kod warna itu sama. Tidak menentu ini bermaksud bagaimana seorang pelukis itu membancuh dan mengadun warnanya, ini tergantung kepada mata dan mood pelukis ketika itu. Faktor-faktor ini juga turut dipengaruhi oleh suhu dan cahaya di studio atau lapangan.. Jadi, hasilnya warna itu tidak tetap/tidak menentu.

Kita hanya boleh mengkategorikan merah itu merah, biru itu biru, tetapi setiap merah atau biru itu berbeza nilainya. Begitulah warna ini telah dipengaruhi oleh persepktif.

Apa kaitan antara warna yang ‘uncertain’ dan perspektif dalam hubung kaitnya dengan politik?

Politik itu sendiri ada yang mengistilahkan sebagai ‘seni serba mungkin’ atau 'the art of the possible’.

Pelukis yang melukis alam tidak wajib menghasilkan lukisan yang serupa (identical) sungguh pun seniman sentiasa cuba meniru rupa alam sehabis baik. Begitu juga dengan demokrasi - ia tidak mewajibkan kemenangan hanya ditentukan kepada mereka yang popular sahaja sungguhpun yang popular itulah selalu dianggap mempunyai sokongan majoriti.

Namun, kedua-dua ini memerlukan satu perspektif tentang bagaimana populariti itu mampu mendapat mandat kuasa. Begitulah seni lukis, sungguhpun lukisan Michelangelo di dinding gereja itu tidak semestinya serupa dengan alam malaikat yang digambarkan olehnya, tetapi perspektif manusia menerima dan bersetuju itulah gambaran dunia ghaib malaikat yang dirupakan oleh seniman besar itu.

Segala aktiviti dan apresiasi manusia ini tergantung kepada perspektif. Dan perspektif rakyat dan pemain-pemain politik ketika ini, mahukan apa? Dan melihat apa?

Bagi Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang kini giat berkempen mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan mereka sebagai parti politik, agar mendapat keabsahan untuk terlibat dalam sistem politik pilihan raya secara formal, mungkin persepektif ini boleh diubah oleh mereka.

Mungkin mereka hanya punya pilihan untuk menubuhkan sebuah parti apabila Muda telah cukup mendapat sokongan undi dan memiliki wakil-wakil rakyat selepas pilihan raya. Hal ini bukan mustahil kerana 'politics is the art of the possible’.

Warna yang dipilih oleh Muda hari ini juga mungkin boleh berubah menjadi suatu warna yang luar biasa daripada apa yang mereka jangkakan.

Begitu juga dengan PH. Kewujudan PH adalah semata-mata menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur. Maksudnya PH wujud kerana tuntutan waktu pada masa itu, dan waktu-waktu selepas ini pasti tidak lagi sama dan ia tidak mewajibkan PH terus kekal sebagai PH, baik pada nama atau entiti gabungannya.

Kewujudan PH tidak boleh dipaksa kerana ia amat bergantung kepada mood dan mata pemain politik ketika perubahan berlaku. Perspektif kita harus sentiasa dikemas kini setiap masa mengikut keadaan, inilah prinsipnya.

Prinsip terletak pada perspektif. Perspektif politik harus berubah mengikut kepentingan zaman.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.