Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengetua tahfiz sambut baik peruntukan dalam Belanjawan 2021

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Langkah kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat dalam Belanjawan 2021 dialu-alukan pihak yang terlibat dalam sekolah tersebut.

Pada masa sama, mereka mencadangkan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan bantuan kerajaan terhadap sekolah-sekolah itu.

Presiden Majlis Belia Tahfiz Malaysia Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa berharap peruntukan RM100 juta itu akan terus dikekalkan pada masa akan datang.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli Mohamad yang melihat kepentingan peruntukan untuk pelajar tahfiz.

"Kami juga berharap peruntukan ini diberikan setiap tahun," katanya yang juga pengetua Maahad Hafiz Klang di Selangor kepada Malaysiakini.

Muhammad Hafiz

Pada 3 Dis lalu, Zafrul mengumumkan peruntukan sejumlah RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat di bawah Bekalan 11 Perkhimatan Am Perbendaharaan di bawah butiran 021300 - Pemberian Kemudahan Projek Khas.

Menurut Zafrul, jumlah peruntukan di bawah Bekalan 11 adalah RM922 juta dan turut merangkumi penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan untuk pelajar miskin, geran padanan untuk badan bukan kerajaan.

“Butiran B11 yang disediakan RM922 juta, berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021,” katanya di Dewan Rakyat.

Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Quran Dhiya Lilbanat di Rasa, Selangor, Muhammad Adam Ab Rashid, pula berharap peruntukan itu bukan dikhususkan untuk soal penyelenggaraan sahaja.

"Difahamkan setiap tahun ada peruntukan dari kerajaan kepada tahfiz tetapi semuanya untuk penyelenggaraan.

"Sebenarnya kami mengharapkan dana perbelanjaan mengurus demi kelangsungan sekolah tahfiz. Harapnya peruntukan itu juga boleh digunakan untuk belanja-belanja yang lain," katanya.

Ayyub

Pengetua madrasah tahfiz al-Quran ar-Rahmaniah Muhammad di Rawang, Ayyub Mohamad pula menyifatkan peruntukan itu amat membantu pengusaha tahfiz, yang turut terjejas akibat perintah kawalan pergerakan.

Lelaki berusia 48 tahun itu telah menguruskan sekolah tahfiz sejak 2005 dan turut bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas).

"Rasa suka dan syukur sebab pengalaman saya buka (tahfiz) sendiri kena buat dari A sampai Z, cari dana sendiri dan sebagainya.

"Ada keluhan daripada kawan-kawan macam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sekarang, misalnya tak dapat bayar gaji ustaz selain masalah seperti bangunan sekolah yang usang.

"Jadi memang peruntukan ini banyak membantu dan langkah yang baik daripada kerajaan," jelasnya yang mengusahakan penternakan haiwan, dua buah restoran dan bengkel kenderaan untuk menampung operasi tahfiz miliknya.

Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata walaupun banyak sekolah tahfiz ditubuhkan secara persendirian, kurikulum bersepadu tahfiz yang diwujudkan kerajaan amat membantu mereka.

"Ia cukup baik. subjek Tahfiz al-Quran juga telah diperkenalkan dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai subjek elektif. Ini satu perkembangan baik dan tanda tahfiz diiktiraf kerajaan," katanya yang merupakan juara rancangan realiti Pencetus Ummah pada 2013.