Skip to main
Logo Malaysiakini

Risiko Covid-19 meresap ke zon hijau boleh dikawal, kata pakar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Prosedur operasi Standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19 - yang berkuat kuasa semalam selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak disambung dilihat terdapat beberapa percanggahan.

Antaranya, kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah dalam kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan PKPB serta had bilangan penumpang dalam kereta mengikut kapasiti namun masih mewajibkan rakyat duduk jarak satu meter di restoran.

Meskipun percanggahan itu berkemungkinan meningkatkan penularan Covid-19 dalam kawasan zon hijau, pakar kesihatan mengatakan risiko tersebut dapat dikendalikan.

Mereka juga berkata, rakyat harus menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan dan bekerja dalam keadaan norma baru.

“Rentas negeri berisiko untuk rakyat dalam kawasan zon hijau dan kuning, tetapi tidak terlalu berisiko.

“Kita perlu hidup dengan virus ini seperti yang dilakukan di Jepun dan Taiwan. Kawasan sasaran perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dapat mengurangkan risiko ini,” kata Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang kepada Malaysiakini.

Amrahi turut menambah, risiko zon hijau dan kuning dapat dikurangkan sekiranya kerajaan memantau secara tegas kawasan PKPD dan pematuhan SOP.

Untuk memulihkan ekonomi

Berdasarkan SOP yang ditetapkan, pergerakan keluar masuk dalam kawasanan PKPD memang tidak dibenarkan kecuali untuk keperluan khusus.

Ia berbeza dengan kawasan PKPB dan PKPP.

Menurut profesor epidemiologi dan pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya, Dr Sanjay Rampal, perkara utama yang perlu dilakukan bagi mencegah penularan Covid-19 ialah kawalan sempadan, penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri serta penggunaan sut perlindungan diri (PPE).

Bagaimanapun, dia menjelaskan keputusan kerajaan untuk melonggarkan sekatan perjalanan dilihat dibuat berdasarkan trend penularan wabak tersebut.

“Usaha kerajaan untuk melonggarkan kebenaran rentas negeri itu sesuai berikutan dinamik penularan wabak tersebut.

“Penularan terkini secara majoriti merupakan jangkitan dari kawasan populasi tertutup seperti penjara, pusat tahanan dan asrama pekerja.

“Penularan tersebut kebanyakan kluster yang tidak melibatkan jangkitan besar komuniti,” kata Sanjay.

Justeru katanya semua pihak harus mengimbangi kaedah campur tangan nasional dengan kos kewangan, ekonomi dan psikososial yang berkaitan.

Penularan mendadak Covid-19 terkini kebanyakan melibatkan kluster penjara selain yang melibatkan pekerja kilang yang tinggal di hostel pekerja seperti kluster Teratai.

Kluster terbabit merupakan yang tertinggi setakat ini, dengan lebih 5,000 kes.

Pakar perunding kanan pernafasan dan timbalan dekan pengajian sarjana muda di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Roslina Abdul Manap, mengambil maklum akan risiko penularan sekiranya terdapat pergerakan dalam komuniti.

Susulan itu, Roslina - seperti yang lain - turut percaya kebenaran pergerakan itu perlu dilakukan bagi pemulihan ekonomi yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

“Maka dengan itu, perlu ada usaha untuk mengurangkan risiko itu, sebagai contoh SOP yang lebih ketat, ujian saringan yang efisyen, pengesanan kontak rapat dan kuarantin serta berkomunikasi secara efektif buat semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Roslina turut merujuk kawasan di Lembah Klang sebagai contoh kawalan risiko penularan yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini.

Gelombang ketiga di Lembah Klang dilaporkan terjadi susulan rakyat yang pulang dari Sabah dan tidak tahu terkena jangkitan wabak tersebut.

“Ia kemudian dikurangkan dengan ujian saringan secara efektif dan usaha kuarantin. Maka dengan itu, selain dari pematuhan SOP, ujian, pengesanan kontak rapat dan kuarantin juga sangat penting (bagi mengekang penularan wabak).

“Strategi efektif dari aspek kos bagi ujian besar-besaran turut perlu diusahakan,” jelas Roslina.

Sementara itu Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Dr Jeffrey Abu Hassan berkata matlamat mengurangkan penularan wabak melalui SOP itu tidak dapat dijayakan kerana wujudnya percanggahan.

“(Tujuan PKP tidak akan berkesan) melainkan penumpang kereta hanya dibenarkan seorang dalam isi rumah dan mereka dari PKPP tidak dibenarkan melawat kawasan PKPB,” tambahnya.

Jeffrey juga berkata kawasan zon hijau akan berisiko melainkan terdapat had seperti contoh yang diberikan.

“Kelonggaran (SOP) dilakukan supaya kita dapat hidup dalam keadaan norma baru dan bagi membenarkan aktiviti ekonomi dijalankan,” jelasnya.

Sabtu lalu, kerajaan telah mengumumkan kebanyakan negeri akan kembali kepada PKPP bermula semalam susulan desakan ekonomi.

Tambah Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob negara akan mengalami kerugian keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM300 juta setiap hari sekiranya PKPB masih dilaksanakan.

[Baca berita asal]