Skip to main
Logo Malaysiakini

Felda cadang ambil alih FGV, 8 tahun lepas IPO kontroversi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bercadang mengambil alih saham persendirian syarikat FGV Holdings Berhad pada RM1.30 sesaham, kata laporan.

Ini selepas tawaran awam permulaan (IPO) FGV yang kontroversi dibuat pada 2012.

Menurut The Edge, Felda menawarkan RM658 million untuk meningkatkan pegangan saham dalam FGV daripada 21.24 peratus kepada 35.12 peratus.

Felda mencadangkan untuk membeli 6.1 peratus saham yang dipegang Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan 7.78 peratus saham pegangan Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Maybank Investment Bank bagi pihak Felda mengumumkan perkara tersebut, kata laporan itu. 

Langkah ini berlaku di tengah-tengah pertikaian antara Felda dan FGV.

Terdahulu, Felda mempertimbangkan untuk mengambil kembali 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dengan alasan pendapatan yang rendah berikutan IPO bernilai RM5.7 bilion.

Pada 2 November, FGV meminta Felda untuk berhenti mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai pajakan tanah dan sebaliknya membawa hal itu ke meja rundingan.

Sementara itu, The Edge melaporkan Felda telah menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPA) dengan KWAP untuk mengambil alih 222.48 juta saham FGV dengan harga RM289.2 juta dan dengan Urusharta Jamaah untuk 283.71 juta saham FGV dengan harga RM368.8 juta.

Laporan itu memetik Maybank IB berkata apabila pengambilalihan saham ini selesai, Felda dan pihak lain yang bertindak bersamanya akan secara kolektif memegang lebih daripada 50 peratus saham FGV.

Ini akan mencetuskan notis tawaran pengambilalihan mandatori (MO).

“Selain itu, apabila perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPA) menjadi tidak bersyarat, Felda akan menyerahkan notis tawaran mandatori kepada Lembaga Pengarah FGV,”  kata bank itu.

"Untuk kejelasan, cadangan tersebut tidak akan menghasilkan MO oleh Felda untuk memperoleh semua baki saham pengundian dalam MSM Malaysia Holdings Bhd yang tidak dipegang oleh FGV," kata Maybank IB lagi, lapor The Edge.

FGV terakhir diperdagangkan hari ini pada harga RM1.27, turun 72.1 peratus daripada harga IPO RM4.55.

Ketika dibuka pada 2012, IPO FGV merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

[Baca berita penuh]