Keputusan gugur saman projek solar RM1.25b pada 13 Jan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Januari tahun depan untuk keputusan mengenai permohonan untuk menggugurkan saman berkaitan projek kontroversi tenaga solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Hakim Ahmad Bache juga menetapkan tarikh yang sama untuk keputusan permohonan perunding perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah untuk penghakiman terus dalam samannya terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Saidi adalah orang yang ingin membatalkan saman Rayyan.
Mengikut undang-undang, penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Rayyan dan Saidi adalah saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadap Rosmah Mansor dalam perbicaraan rasuahnya yang sedang berlangsung dan berkaitan dengan projek itu. Rosmah adalah isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Hakim Ahmad menetapkan tarikh itu berikutan penghujahan oleh pasukan peguam plaintif Rayyan dan defendan Saidi dalam prosiding mahkamah terbuka hari ini.
"13 Jan (tahun depan) untuk keputusan," kata hakim, sambil menambahkan bahawa dia akan menyampaikan penghakimannya melalui e-review atau e-mel.
Peguam Ravee G Uthirapathy dan Krishna Kumar masing-masing mewakili Rayyan dan Saidi.
Pada 13 Julai, portal The Edge Markets melaporkan Rayyan memfailkan saman terhadap Saidi atas dakwaan tidak membuat bayaran perkhidmatan atas bantuannya untuk membolehkan Jepak Holdings mendapat kontrak projek solar hibrid di 369 sekolah pedalaman Sarawak.
Menurut laporan itu, Rayyan membuat sebanyak RM9 juta, yang dikatakan sebagai baki untuk bayaran berjumlah RM10 juta, tambahan RM20 juta untuk kerugian peluang pelaburan dan perniagaan, ganti rugi am, faedah serta kos.
Rayyan dan Saidi adalah saksi pendakwaan dalm kes rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Jan 2021 untuk keputusan permohonan ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah supaya kes samannya terhadap bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin diputuskan melalui penghakiman terus.
Saman yang difailkan Rayyan, 41, pada 29 Feb lepas adalah berhubung dakwaan rakan perniagaannya itu gagal membayar baki RM9 juta atas perkhidmatan yang dilakukan untuk mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Datuk Ahmad Bache turut menetapkan tarikh sama (13 Jan) untuk keputusan permohonan Saidi bagi membatalkan saman dikemukakan Rayyan selepas mendengar hujahan ringkas peguam yang mewakili kedua-dua individu itu, hari ini.
Terdahulu, peguam Krishna Kumar yang mewakili Saidi berhujah bahawa Rayyan selaku plaintif tidak memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan pembatalan saman dikemukakan oleh anak guamnya.
Katanya, tuntutan saman itu sepatutnya difailkan terhadap syarikat iaitu Jepak Holdings dan bukannya plaintif.
Oleh itu, pihak kami memohon supaya saman berkenaan dibatalkan oleh mahkamah," kata peguam itu.
Peguam Ravee G Uthirapathy yang mewakili Rayyan pula berhujah, dakwaan defendan bahawa plaintif tidak memfailkan afidavit jawapan adalah tidak berasas dan cacat.
Katanya, wujud perjanjian lisan antara Rayyan dan Saidi berhubung perolehan projek solar itu dan sumbangan kerja-kerja konsultansi yang diberikan kepada Rayyan selepas perolehan projek berkenaan.
"Kewujudan perjanjian lisan itu terbukti apabila Saidi telah membayar RM1 juta kepada Rayyan sebagai sebahagian bayaran yang sepatutnya diterima oleh Rayyan selepas perolehan projek tersebut," katanya yang turut memohon saman itu diputuskan melalui penghakiman terus.
Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 61, telah melantiknya sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.
Dakwa plaintif, pada 10 Dis 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar projek adalah RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan oleh plaintif.
Menurutnya, pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar wang sebanyak RM1 juta kepadanya dan sehingga kini baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dijelaskan oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta, ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.
Saidi dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April lepas menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek dimasuki antara Jepak Holdings dengan KPM dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.
Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan menuntutnya memulangkan semula wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.
Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai