Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO sasar sumbangan RM400,000 bantu rakyat di Yaman, Syria

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NGO Islamic Relief Malaysia (IRM) menyasarkan dana berjumlah RM400,000 bagi kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu masyarakat Yaman dan Syria yang  masih dalam krisis.

Dalam kenyataannya pada 7 Dis lalu, IRM berkata antara sumbangan yang disalurkan adalah barangan keperluan seperti arang sebanyak 50 kilogram setiap sebulan, jaket, kasut, stokin, selimut, tilam dan plastik penebat haba.

"Kempen ini menyasarkan dana sebanyak RM400,000 untuk maafaat penduduk Sana’a, Taiz, Amran, Dhamar dan Sa’ada, Yaman serta penduduk Aleppo dan Idlib di Syria.

"Layari laman web Islamic Relief Malaysia untuk menyumbang dan ikuti perkembangan serta perkongsian pelbagai lagi kisah penderitaan penduduk di negara-negara konflik menerusi media sosial IRM," katanya.

IRM menjalankan kempen itu sejak 2018 bagi membantu penduduk Timur Tengah, terutama di kawasan-kawasan terjejas, ketika musim sejuk.

Konflik di Yaman, yang merupakan salah satu negara termiskin di Timur Tengah, melibatkan perang saudara antara puak Houthi dengan kumpulan penyokong bekas presiden Ali Abdullah Salleh.

Pada 2015, Arab Saudi mengetuai beberapa negara lain dalam serangan untuk melawan puak tersebut.

Menurut laporan, setakat Oktober 2019, sebanyak 100,000 kematian dilaporkan ekoran krisis yang berlaku, termasuk 12,000 orang awam, melalui serangan secara langsung.

Ribuan lagi mati akibat penyakit, kekurangan zat dan tahap kesihatan yang buruk, dengan jutaan rakyatnya lagi berdepan masalah kebuluran.

Menurut laporan BBC, sebanyak 80 peratus daripada populasi di sana - iaitu kira-kira 24 juta orang - memerlukan perlindungan dan bantuan kemanusian, dan dianggarkan dua juta kanak-kanak berdepan masalah kekurangan zat yang teruk.

Syria juga berdepan perang saudara yang tercetus sejak 2011 dan setakat ini dianggarkan meragut kira-kira 500,000 nyawa, termasuk 55,000 kanak-kanak.

Dalam pada itu, IRM turut memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Yaman yang mendakwa konflik peperangan di negara itu telah meragut nyawa ratusan ribu kanak-kanak.

"Malahan jutaan kanak-kanak yang masih hidup ketika ini juga bakal berdepan nasib yang sama.

"Kini, dengan ancaman pandemik Covid-19 dan cabaran musim sejuk menambahkan lagi tekanan dan juga kesengsaraan mereka," kata IRM lagi.