Skip to main
Logo Malaysiakini

Top Glove akui dapat pengajaran, ikrar tambah baik asrama pekerja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Top Glove Corporation Bhd berikrar membina tempat tinggal pekerja yang lebih baik yang dapat memisahkan dan mengehadkan pergerakan pekerja dari komuniti berdekatan.

Pada sidang media yang diadakan hari ini, syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu mengaku mendapat pengajaran susulan Kluster Teratai yang berkaitan dengan pekerja syarikat mereka menjadi kluster Covid-19 terbesar di negara ini.

Pengarah Urusan syarikat itu, Lee Kim Meow berkata, asrama pekerja Top Glove akan dibina berhampiran dengan kilang dan semua kemudahan yang diperlukan akan disediakan di asrama.

"Kami telah memperuntukkan RM170 juta untuk membina asrama baru. Melangkah ke hadapan, kami akan mempunyai penginapan di sebelah kilang baru yang akan kami bina.

"Kita boleh mempunyai kawalan yang lebih baik dan kurang aduan dan komen daripada penduduk setempat," katanya.

"Semua kemudahan yang diperlukan akan ditempatkan berdekatan dengan tempat tinggal pekerja untuk kemudahan mereka, misalnya, kita mempunyai kedai gunting rambut, pasar, mesin ATM dan kantin pusat.

"Ideanya adalah untuk mengehadkan pergerakan pekerja ... Saya rasa itu telah memberi kita pelajaran. Kita perlu menguruskannya dengan lebih baik dan ada ruang untuk diperbaiki," katanya, ketika ditanya apakah syarikat itu merancang untuk memisahkan pekerja untuk mencegah jangkitan kluster.

Top Glove bahkan menunjukkan kepada media rancangan susun atur kilang Mantin di Negeri Sembilan, di mana ia mendakwa kilang itu akan menjadi model bagaimana kilang dan asrama akan dibina pada masa akan datang.

Bagi asrama yang ada, Lee mengatakan Top Glove akan memperbaiki keadaan tempat tinggal pekerja dengan menyewa atau membeli asrama baru untuk memastikan ia dapat mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 pada akhir Disember.

Kluster Teratai yang berkaitan dengan Top Glove mencatat 5,259 kes setakat hari ini.

Kenaikan mendadak kes Covid-19 di kalangan pekerja Top Glove menyebabkan kerajaan menempatkan asrama pekerja syarikat itu di Klang di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan sejak 17 Nov.

Walaupun Putrajaya tidak terus mengarahkan kilang Top Glove di Klang ditutup, tetapi semua 28 kilang diperintahkan untuk ditutup secara berperingkat.

Berikutan itu, Kementerian Sumber Manusia membuka 19 kertas siasatan terhadap enam syarikat yang berkaitan dengan Top Glove berikutan operasi penguatkuasaan di lima negeri, iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.

Di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, jika didapati bersalah, majikan boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap pekerja.

Pengarah eksekutif syarikat Lim Cheong Guan berkata, Top Glove masih belum mendapat maklumat terkini mengenai siasatan oleh kerajaan.

Lim, bagaimanapun, mengatakan syarikatnya meminta kerajaan untuk membantu mereka mematuhi syarat di bawah Akta tersebut.

"Dilaporkan bahawa lebih daripada 90 peratus pekerja tidak diberi tempat tinggal yang mematuhi undang-undang. Memang mencabar, tetapi akan melakukan yang terbaik," tambah Lim.

Sementara itu, bos Top Glove, Lim Wee Chai berkata, tujuh kilang dibuka semula semalam dan syarikatnya menjangkakan kesemua 28 kilang itu akan beroperasi sepenuhnya dalam dua hingga tiga minggu.

"Mudah-mudahan, kita akan melihat tujuh kilang dibuka semula manakala tujuh lagi akan dibuka minggu depan," katanya.

Sehingga hari ini, Top Glove mendakwa bahawa 4,000 pekerjanya yang pulih dari Covid-19 dibenarkan untuk kembali bekerja.

"Mereka sudah dibenarkan keluar, mereka sihat dan boleh bekerja. Mereka dihantar ke hospital untuk diasingkan hanya selama lima hingga enam hari, tetapi sebenarnya mereka tidak mengalami gejala, tidak demam atau sakit," kata pengerusi eksekutif Top Glove itu.