Skip to main
Logo Malaysiakini

Maeps dibuka semula sebagai pusat kuarantin warga asing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan diubah menjadi pusat kuarantin untuk warga asing sekali lagi.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengatakan ini memandangkan peningkatan mendadak dalam kes Covid-19, serta pemeriksaan pekerja asing yang dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, Maeps akan dilengkapi dengan 10,000 tempat tidur, dalam tiga fasa.

Hanya warga asing yang tidak simptomatik, atau mempunyai gejala kecil yang akan dikuarantin di sana, katanya.

Maeps sebelum ini digunakan sebagai pusat kuarantin untuk warga asing tanpa dokumen dari 16 April hingga 15 Julai.

Sementara itu, Ismail mengumumkan bahawa mulai esok, akan diadakan latihan penyaringan secara besar-besaran di Sektor A Spektrum Tengah di Pulau Indah di Klang, Selangor.

Latihan itu akan melibatkan 45 syarikat, 102 premis dan 1,200 penduduk yang kebanyakannya merupakan warga asing.

Beliau berkata sekiranya ada keperluan, penyaringan akan diperluas ke Sektor B dan C.

Dalam sidang media yang berasingan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa mereka menjangkakan jumlah kes akan meningkat dengan penyaringan tumpuan terhadap pekerja asing.

Sebilangan besar kes yang dikesan dijangka masuk ke pusat karantin berisiko rendah termasuk Maeps.

"Sebanyak 80 peratus kes berada di Kategori 1, untuk kes positif tanpa gejala, sementara di Kategori 2 (positif dengan gejala ringan) mencapai sekitar 14 peratus.

"Jadi, 94 peratus kes akan ditempatkan di pusat kuarantin berisiko rendah. Kita telah mengenal pasti premis yang akan digunakan sebagai pusat ini di setiap negeri.

"Kes di Kategori 3, 4 dan 5 kurang dari lima peratus dari jumlah keseluruhan. Dan hospital kita mampu menanganinya," katanya.