Skip to main
Logo Malaysiakini

Melayu/Cina sahaja: Kajian tunjuk diskriminasi kaum dalam pasaran hartanah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Banyak kali kita mendengar kisah anekdot berkenaan perkauman dalam pasaran hartanah, dengan kaum minoriti sering menyuarakan tentang diskriminasi oleh pemilik yang enggan menyewakan rumah kepada mereka atas sebab kaum.

Bagaimanapun, kajian yang dibuat oleh penganalisis perniagaan Pingalayen Rabinthra Kumar terhadap sebuah laman web hartanah popular mutakhir ini menunjukkan ia bukan sekadar bersifat anekdotal.

Berdasarkan maklumat daripada laman penyenaraian hartanah popular iBilik.com, Pingalayen, 24, mendapati hampir separuh daripada iklan sewaan bilik pada 19 Oktober dengan jelas menunjukkan pemilik mendiskriminasi penyewa berdasarkan kaum.

Di iBilik, pemilik atau ejen boleh menanda pilihan 'Melayu', 'Cina', India', dan 'Lain' bagi kaum penyewa pilihan mereka. Mereka juga boleh menyatakan jika cenderung kepada penyewa 'mesra-Muslim'.

Pingalayen Rabinthra Kumar

Menganalisis syarat yang ditetapkan oleh 9,596 iklan yang disenaraikan, dia mendapati 45 peratus daripadanya menyatakan lebih mengutamakan penyewa Melayu atau Cina.

Hanya 19 peratus terbuka untuk penyewa kaum India, manakala 37 peratus tidak menyatakan sebarang keutamaan.

Analisisnya juga mendapati bilik di lokasi popular yang tidak menyatakan syarat kaum biasanya dengan harga sewa yang lebih tinggi.

Membandingkan harga di iklan di lokasi seperti Wangsa Maju, SS2 Petaling Jaya dan Setapak, dia mendapati bilik untuk penyewa Melayu dan Cina sahaja secara puratanya 21 peratus lebih murah berbanding bilik tanpa keutamaan kaum.

'Ditolak kerana sekeping gambar'

Pingalayen berkata dia membuat analisis ini selepas berdepan diskriminasi serupa ketika mencari tempat tinggal di Lembah Klang, selepas berpindah dari Alor Setar.

Katanya, pernah sekali ejen memasukkannya dalam senarai pendek untuk sebuah bilik tetapi ditolak setelah pemilik melihat gambarnya.

"Saya diberitahu ejen yang pemilik 'sensitif dengan hal-hal seperti ini'," katanya.

Katanya lagi, ejen hartanah sentiasa bertanya tentang latar kaumnya ketika di bertanya tentang bilik untuk disewa, dan tidak menerima balasan lagi setelah berkata dia seorang India.

Dia kemudian berkongsi dapatannya di Twitter dan ciapan itu terus menjadi tular dengan ramai pengguna kaum India yang berkongsi pengalaman serupa.

Walaupun datanya bukan dengan jelas menunjukkan sentimen antikaum India - tetapi diskriminasi terhadap semua penyewa yang bukan daripada kaum Melayu dan Cina, Pingalaye membentangkan datanya seumpama itu kerana ingin membangkitkan pengalaman yang dihadapi masyarakat India seperti dirinya.

"Tujuan analisis saya hanyalah untuk menunjukkan pengalaman penyewa India dengan data. Ini bukan untuk mengenepikan pengalaman kumpulan (minoriti) lain," katanya.

Penyewa turut tetapkan pilihan kaum

Beberapa bulan sebelumnya, Divek Suppiah turut berkongsi pengalamannya di media sosial. Ia turut menjadi tular.

Menurutnya, dua minggu setelah berpindah masuk ke apartmen di Grand Subang di Selangor, pemilik terpaksa memintanya keluar kerana tidak tahu dia seorang India dan dia lebih memilih penyewa Cina.

"Dia patut memaklumkan mahukan penyewa Cina kepada syarikat pengurus hartanah. Amat malang hal ini berlaku kepada saya terutamanya kerana saya juga perunding hartanah," kata lelaki berusia 24 tahun itu.

Divek Suppiah

Menurut Divek, ejen berdepan kesukaran dalam memenuhi permintaan seumpama itu daripada pemilik hartanah.

Katanya, dia pernah berdepan pelanggan yang berkata mereka hanya mahukan penyewa kaum Cina dan ejen perlu akur dengannya.

Pada masa sama, dia juga pernah menguruskan penyewa yang hanya mahu tinggal dengan kaum tertentu atau kaum sendiri.

Tunjukkan anda penyewa yang baik'

Seorang pemilik hartanah yang enggan mendedahkan namanya turut berkongsi cerita berkenaan bagaimana penyewa barunya meminta agar karpet ditukar kerana unit kondominium itu sebelum itu diduduki penyewa India.

Dia yang berasal dari Sarawak berkata terkejut dengan permintaan itu.

"Di Sarawak tak ramai orang India, jadi saya terkejut. Saya tak terdedah dengan pergeseran seperti ini yang ada di Semenanjung."

Kebanyakan pemilik dan ejen hartanah yang dihubungi Malaysiakini enggan memberi ulasan tetapi ada yang setuju untuk berkongsi pendapat dengan syarat nama dirahsiakan, kerana enggan menghindarkan pelanggan pada masa akan datang.

Salah seorang yang dihubungi memiliki pengalaman empat tahun sebagai ejen di Lembah Klang. Dia berkata kebanyakan pemilik yang diurusnya menyatakan keutamaan kaum secara terus kepadanya, walaupun ia tidak dinyatakan dalam iklan.

Ada juga pemilik yang menolak penyewa warga asing atau daripada kaum sendiri atas alasan mereka "tidak cukup moden", katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, latar kaum bukan perkara utama, sebaliknya kemampuan membayar sewa tepat pada masanya.

"Generalisasi kaum akan sentiasa wujud tetapi ada cara untuk mengendalikannya kerana ia bukan itu saja yang diutamakan pemilik," katanya.

Antara strategi untuk menangani generalisasi itu adalah dengan menyediakan rujukan (referral) daripada tuan rumah semasa atau sebelumnya, atau menunjukkan resit bayaran untuk membuktikan mereka sentiasa membayar sewa mengikut masa.

Tiada perlindungan undang-undang

Setakat ini, tiada undang-undang yang melarang pemilik hartanah daripada memilih penyewa berdasarkan kaum.

Pada Ogos lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkenaan regulasi antara pemilik hartanah dan penyewa.

Undang-undang itu - Akta Sewaan Kediaman - dijangka akan dibentang tahun depan dan antara lain untuk mengekang amalan bersifat "perkauman".

Walaupun rangkanya belum siap, ia sudah berdepan bantahan daripada pemilik hartanah yang berkata mereka berhak menolak sesiapa yang dilihat "bermasalah".

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berkata pihaknya menentang diskriminasi kaum tetapi jika pemilik berdepan bakal penyewa yang dilihat bermasalah, mereka ada hak untuk tidak memberikan sewaan.

"Tiada pemilik rumah yang mahu berdepan perbelanjaan tambahan ekoran perlu membaiki hartanah yang rosak memandangkan dalam kebanyakan kes, deposit dua bulan sewaan dan deposit utiliti setengah bulan tidak memadai."

Peguam Rajeswary Girupai berkata, belum tentu rang undang-undang itu akan melindungi penyewa daripada diskriminasi kaum jika tiada penguatkuasaan yang wajar.

"Kita kekurangan undang-undang untuk mengekang amalan perkauman di negara ini," katanya.

Selagi amalan seumpama itu tidak dilarang undang-undang, Pingalayen berharap dapatannya dapat meningkatkan kesedaran berkenaan isu tersebut dan masyarakat akan menolak amalan itu.

[Baca berita asal]