Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Rosmah: Pendakwaan tutup kes, mahkamah dengar hujah 10 Feb

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pendakwaan dalam perbicaraan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, melibatkan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak menutup kesnya hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perbicaraan terhadap Rosmah ini berhubung satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Perbicaraan yang bermula sejak 5 Feb itu mengemukakan 23 saksi sepanjang 33 hari sesi perbicaraan.

Pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini selepas bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid yang merupakan saksi pendakwaan kelima, dipanggil semula bagi pemeriksaan balas pagi tadi.

Dia diminta menjelaskan berhubung beberapa harta miliknya dan sepucuk surat kepada Najib selaku menteri kewangan ketika itu untuk memberi pengecualian khas tatacara kewangan pembayaran kepada Jepak Holdings.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian mengarah pasukan peguambela menyerahkan hujah bertulis sebelum 28 Disember. Sementara, pihak pendakwaan akan mengemukakan hujah bertulis sebelum 4 Januari 2021.

Zaini turut menetapkan 10 Feb 2021 mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan.

Rosmah, 69, yang diwakili barisan peguam diketuai Jagjit Singh, sementara bekas hakim mahkamah tinggi Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menawarkan 10 saksi termasuk Najib kepada pihak pembelaan sekiranya dipanggil membela diri.

Terdahulu, hakim menyindir Mahdzir selepas dia menjawab 'tidak ingat' berhubung beberapa soalan diajukan oleh peguam Akberdin.

"Bagaimana, Datuk Seri tidak ingat surat tiga bulan yang lalu? Adakah kamu tidak ingat kerana Covid-19?" tanya Zaini.

Mahdzir membalas: "Ya, saya tidak ingat kerana Covid."

Selain itu, awal hari ini, Zaini juga menolak permohonan pendakwaan untuk menyerahkan rakaman audio dan transkrip panggilan antara Rosmah dan suami sebagai saksi.

Setelah mendengar hujah dari Sri Ram dan hujah balas dari Akberdin mengenai apakah audio tersebut harus diterima sebagai bukti, Zaini memutuskan bahawa dia "tidak berminat" untuk mengakui klip dan transkrip tersebut sebagai bukti.

Katanya, dia tidak dapat memberikan alasan ringkas kerana kesuntukan masa.

"Namun, saya enggan mengakui rakaman audio dan transkrip sebagai bukti," kata Zaini.

Sebelum ini, pihak pendakwaan berkata mahu menggunakan rakaman audio, yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Januari, sebagai bukti terhadap Rosmah.

Bagaimanapun, peguam Rosmah meminta hakim untuk tidak menerima klip audio itu sebagai bukti, dengan alasan ianya "pembunuhan watak".