Belanjawan 2021: DAP cadang pakej rangsangan RM45 bilion
KATA MP | Pakej Rangsangan Ekonomi tambahan sebanyak RM45 bilion untuk Belanjawan 2021 amat diperlukan demi menyelamatkan pekerjaan berikutan kenaikan kadar pengangguran yang tidak dijangka kepada 4.7 peratus dan penguncupan IPI sebanyak 0.5 peratus pada Oktober 2020.
Jabatan Perangkaan (DOSM) baru-baru ini mengumumkan terdapat 748,200 orang penganggur pada bulan Oktober, iaitu peningkatan 0.1 peratus kepada 4.7 peratus pada bulan Oktober berbanding 4.6 peratus pada bulan September.
Penguncupan IPI tahun-ke-tahun (y-o-y) pada Oktober 2020 sebanyak 0.5 peratus adalah satu kejutan berikutan pertumbuhan tiga bulan berturut-turut pada bulan Julai, Ogos dan September, ketika negara ini menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
DOSM mengatakan sebelum penguncupan 0.5 peratus IPI pada Oktober 2020, IPI bertumbuh 1.2 peratus pada bulan Julai, 0.2 peratus pada bulan Ogos dan 1 peratus pada bulan September.
Ramai yang mengharapkan pengangguran menurun dan IPI terus bertumbuh pada bulan Oktober berikutan pelonggaran sekatan pergerakan Covid-19.
748,2000 orang penganggur ini sepadan seperti ramalan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa 1 juta rakyat Malaysia yang menganggur menjelang bulan September termasuk sektor tidak formal, lepasan sekolah dan graduan baru universiti.
Jelas bahawa pemulihan ekonomi yang diharapkan daripada peningkatan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global telah terbantut di Malaysia dan semakin kurang kesannya.
Bukan sahaja IPI menguncup, tetapi terdapat penurunan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar Malaysia sebanyak 11.6 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Penurunan mendadak ini akan memberi kesan buruk kepada keyakinan ekonomi terhadap pertumbuhan masa depan dan merosakkan daya saing Malaysia, kerana negara-negara lain di Asia tidak mengalami fenomena yang sama.
Oleh itu, tambahan RM45 bilion untuk Belanjawan 2021 diperlukan demi mewujudkan sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan memperlahankan pemberhentian pekerjaan, kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan. RM45 bilion itu harus digunakan untuk menghadapi lima teras utama.
Lima teras utama pakej rangsangan ekonomi RM45 bilion:
Pertama, perlu ada pelaksanaan segera kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat daripada RM200-300 menjadi RM1,000, termasuk kepada golongan penganggur yang dijangka mencecah 1 juta rakyat Malaysia, yang akan menelan belanja RM12 bilion setahun.
Ini akan menyediakan jaringan keselamatan segera kepada pekerja yang menganggur sepanjang tempoh krisis Covid-19.
Kedua, pelanjutan secara automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20 peratus teratas, selama 6 bulan selepas 30 September, yang akan menelan belanja RM6.4 bilion dan dapat membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.
Ini berbanding dengan pelanjutan secara bersasar moratorium pinjaman bank dan bantuan bank sekarang selepas 30 September, yang hanya membantu 645,000 peminjam, bersamaan dengan hanya 8 peratus daripada 8 juta peminjam sebelum ini.
Ini hanya menguntungkan institusi kewangan yang memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman, seterusnya menyebabkan peminjam perlu membayar jumlah pembayaran faedah yang lebih tinggi.
Hakikatnya ialah industri perbankan mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 dan walaupun dilandai krisis Covid-19 pada tahun 2020, terus mencatatkan keuntungan tanpa sebuah bank pun mengalami kerugian.
Ketiga, insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa dua tahun, di bawah skim Malaysia@Kerja dengan RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan bagi mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020.
Memperluas skim ini untuk merangkumi 600,000 pekerja dan majikan Malaysia akan menelan belanja RM13 bilion. Ini juga dapat membantu lebih daripada 500,000 belia yang menganggur.
Keempat, baki RM4 bilion harus dibelanjakan untuk mendigitalisasikan pendidikan termasuk membeli komputer riba bagi menyediakan pembelajaran atas talian bagi pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah.
Pendidikan Malaysia mengalami krisis tahun ini, apabila pelajar hanya bersekolah selama empat bulan.
Kehilangan latihan sumber manusia tidak dapat diukur. Pelajar Malaysia harus diberi pilihan untuk belajar secara atas talian.
Kelima, pemberian kewangan berjumlah RM10 bilion harus diberikan untuk memberi talian hayat kepada bagi perniagaan baru dan sedia ada, lanjutan pinjaman dan kredit, terutamanya untuk industri pelancongan yang sedang lumpuh.
Bagi industri pelancongan sahaja, untuk 9 bulan pertama tahun ini, Malaysia kehilangan RM54 bilion hasil pulangan pelancongan berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.
Bukan industri pelancongan sahaja yang bergantung kepada "sokongan hidup", industri lain juga turut menderita.
Kerunsingan kini meningkat terhadap wujudnya pertumbuhan ekonomi yang positif untuk suku akhir tahun ini dan pertumbuhan ekonomi 7.5 peratus tahun depan seperti yang diramalkan oleh Kerajaan Persekutuan PN.
Kerajaan harus membantu dengan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion yang serupa untuk tahun depan jika kita ingin menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menyekat kadar pengangguran merosot kepada paras tertinggi 5.3 peratus sebelum ini pada Mei 2020 semasa kawalan pergerakan seluruh negara Covid-19.
LIM GUAN ENG ialah Ahli Parlimen Bagan merangkap Setiausaha Agung DAP.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai