Tok Him: Hadkan dua penggal pegang jawatan PM, menteri, exco
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan memainkan peranan sebagai kuasa ketiga dalam kerajaan dengan bertindak sebagai 'semak dan imbang' demi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin, kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali.
Beliau berkata perkara itu antara usul yang dibentangkan pada persidangan agung tahunan pertama Putra yang berlangsung hari ini.
"Putra akan bersikap tegas untuk memastikan apa juga pelaksanaan dasar dan undang-undang negara tidak wujud unsur ketirisan, penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik malah penjawat awam.
"Selain itu, Putra akan terus memperjuang jawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar, dan exco kerajaan negeri dihadkan tempoh memegang jawatan hanya dua penggal bagi menjamin semak dan imbang, bersih dan berintegriti," katanya kepada pemberita selepas persidangan itu di Kuala Lumpur yang dihadiri 250 pemimpin parti bagi mematuhi standard operasi prosedur mengekang penularan Covid-19.
Usul lain ialah Putra akan memperjuangkan supaya wujud satu undang-undang melindungi kesucian Islam sebagai agama persekutuan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu daripada terus diperlekehkan oleh pihak tidak bertanggunggjawab, katanya.
Putra yang ditubuhkan pada 17 Ogos 2018 membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai