Ajaran Asmaul Husna Wan Maseri dirujuk ke majlis fatwa
Isu ajaran Asmaul Husna Wan Maseri yang didakwa sebagai menyeleweng daripada Islam akan dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dibuat penilaian dan keputusan selanjutnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.
Menurutnya perkara itu sebelum ini sudahpun dibangkitkan dan dibincang beberapa kali di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dalam mesyuarat pascakabinet.
Jelasnya makluman awal memang ada penyelewengan daripada segi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berkaitan ajaran Asmaul Husna Wan Maseri itu.
“Sebagaimana yang kita tahu bagi bidang kuasa setiap kerajaan negeri mereka ada kuasa untuk keluarkan fatwa sesuatu ajaran itu sama ada sesat ataupun tidak.
"Setakat ini ajaran itu didakwa timbul di Pahang dan fatwa mengenainya sudah dikeluarkan sebagai menyeleweng daripada Ahli Sunnah.
“Selain itu ada beberapa negeri sudah mengambil tindakan sama, termasuk Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah Covid-19 peringkat parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.
Difahamkan, ajaran yang didakwa diasaskan oleh Prof Dr Wan Maseri Wan Ahmad itu kini difatwakan sebagai sesat dan menyesatkan di Terengganu, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.
Ahmad Marzuk berkata, pihaknya mahu menasihatkan kepada masyarakat yang tidak mengetahui dengan sepenuhnya tentang sesuatu fahaman yang dibawa dalam konteks pengajaran supaya berhati-hati.
"Individu yang dikatakan membawa ajaran ini juga bukan lagi ahli PAS dan sudah dipecat walaupun sebelum ini pernah menjadi calon dalam pilihan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, setakat ini Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Bahagian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sudah diamanahkan untuk laksanakan perkara sama untuk dapatkan maklumat lebih lengkap daripada individu berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai