Skip to main
Logo Malaysiakini

Inti pati teguran Sultan Nazrin tak terbatas untuk Perak saja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkait situasi politik semasa boleh dibaca dan difahami melangkaui apa yang berlaku di negeri itu sahaja.

Sebaliknya kata ketua pembangkang itu, pandangan dan teguran Sultan Nazrin Shah itu turut meliputi peringkat persekutuan.

"Saya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salah guna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.

"Saya fikir bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat persekutuan juga," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai merujuk teguran Sultan Nazrin Shah ketika bertitah pada istiadat pelantikan menteri besar Perak ketiga sejak PRU ke-14 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Dis lalu.

Baginda berkata, pelantikan yang mencatatkan sejarah baru itu tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal DUN Perak dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

"Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat," titah baginda.

Sehubungan itu Anwar berkata PKR berpandangan reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab diwujudkan.

Kata Anwar lagi reformasi itu juga perlu bagi mengelak amalan mengkhianati amanah rakyat atau mengabai kepentingan mereka.

"Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak.

"Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba," katanya yang juga anggota Parlimen Port Dickson.