Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq: Negara luar iktiraf orang muda, Malaysia iktiraf orang tua

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas menteri belia dan sukan tidak mahu ketinggalan dalam menyorot pelantikan Jocelyn Yow - warga AS yang mempunyai susur galur Malaysia - dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, California.

Syed Saddiq berkata, ketika negara luar lain menghargai kemampuan anak muda, Malaysia masih lebih cenderung mengiktiraf orang tua.

"Ramai yang cakap, Malaysia hanya menghargainya rakyatnya (atau yang ada hubungan dengan Malaysia) apabila mereka sudah berjaya di luar negara. Mungkin ada benarnya hakikat ini.

"Tapi, saya lihat ada beberapa iktibar dan pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah Jocelyn Yow ini. Negara luar mengiktiraf orang muda, negara Malaysia iktiraf orang tua.

"Bayangkan, usianya 25 tahun tetapi beliau sudah diberi tanggungjawab besar sebagai Datuk Bandar di Eastvale, California.

"Di Malaysia, tugas pemimpin itu banyaknya masih lagi diserahkan kepada yang berusia atau berumur. Alasannya adalah lagi berusia, lagi banyak pengalaman," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, ruang berita negara dipenuhi dengan kisah kisah Jocelyn Yow yang dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, ...

Dihantar oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di & nbsp; Ahad, 13 Disember 2020

 

Yow adalah seorang AS berusia 25 tahun yang ayahnya berasal dari Alor Setar, Kedah dan ibunya datang ke AS sebagai pelarian dari Vietnam.

Yow, yang belajar di University of California, Berkeley, dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam pentadbiran di Harvard Extension School, dilaporkan adalah wanita termuda dari kaum minoriti untuk berkhidmat sebagai datuk bandar di California.

Dia juga penyokong perwakilan wanita dalam politik.

Sementara itu, Syed Saddiq juga berkata pandangan bahawa orang tua lebih berpengalaman merupakan alasan untuk negara kita terus menutup mata dan tidak memberi peluang kepada orang muda untuk memimpin.

Jocelyn Yow.

Dia juga menegaskan bahawa Malaysia perlu melihat pada merit dan bukannya kroni.

"Berikan ruang untuk kami bersuara, memimpin komuniti, menjadi wakil kepada rakyat.

"Negara luar lihat merit, negara Malaysia lihat kroni. Di luar sana, ruang dan peluang tersedia kepada mereka yang berusaha keras dan ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada komuniti.

"Jika anda rajin, pasti ada ruang untuk diisi. Tetapi di Malaysia, lain ceritanya. Jika anda tidak ada hubungan politik, hubungan dengan kroni atau sendiri menjadi ahli politik, ruang untuk anda memimpin itu sangat sukar," katanya.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga sebelum ini memuji Yow dan mengajak anak muda Malaysia mengambil iktibar selain menyeru anak muda di luar negara agar kembali untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.