Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya seolah-olah tak diperlukan Bersatu'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata Bersatu - yang disertainya selepas meninggalkan Amanah dan Pakatan Harapan - memberi gambaran kehadirannya tidak diperlukan.

Kata bekas ketua Pemuda Amanah itu lagi tiada ruang dibuka untuknya dalam Bersatu di pelbagai peringkat.

"Saya tidak diberi ruang oleh Bersatu sama ada di peringkat negeri atau bahagian untuk terlibat secara langsung dalam gerak kerja parti politik.

"Itu menggambarkan saya seolah tidak diperlukan dalam Bersatu," katanya seperti dilaporkan Awani.

Terdahulu, Hasnul Zulkarnain itu mengakui dia memberikan sokongan kepada Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad untuk dilantik sebagai menteri besar Perak menggantikan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Malah Hasnul Zulkarnain memberitahu sokongan itu diberikannya lebih awal daripada Adun Bersatu yang lain.

Katanya, perakuan bersumpah (SD) untuk menyokong Saarani itu ditandatangani selepas usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti pada sidang DUN Perak pada 4 Dis lalu.

Sebelum ini Bersatu memberitahu mereka akan menyiasat dakwaan Hasnul Zulkarnain tidak memberikan undi percaya kepada Ahmad Faizal dan menandatangani SD menyokong Saarani.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pula berkata mereka menunggu bukti daripada pihak Umno berkenaan pendirian Hasnul Zulkarnain.

Hasnul Zulkarnain berkata dia mengaku memberikan sokongan kepada Adun Umno itu untuk meredakan ketegangan di antara parti itu dan Bersatu.

"Pada saya, tak perlu menunggu Umno memberi bukti, saya hari ini mengaku secara rasmi menandatangani SD (sokong) Datuk Saarani," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fadzi Paharuddin menafikan dakwaan Hasnul Zulkarnain tidak diberi peranan dalam Bersatu.

"Sudah tentu di peringkat negeri, saya secara peribadi berusaha melibatkan beliau dalam kepimpinan Bersatu Parit Buntar, khususnya di kawasannya kerana beliau wakil rakyat kawasan itu.

"Tetapi kena fahamlah juga, dalam politik ini ketua bahagian pun juga ada pasukan sendiri, tetapi ada cadangan pelantikan jawatankuasa peringkat bahagian.

"Tindakan akhir saya untuk beri peluang kepadanya secara rasminya dalam mesyuarat kepimpinan Bersatu negeri, saya melantik beliau sebagai pengerusi jawatankuasa program untuk jentera pilihan raya Bersatu Perak," katanya seperti dilaporkan portal FMT, hari ini.