Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Merentasi dua benua menuju Laluan Sutera

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sesuatu yang menarik untuk diketahui kita semua. Melihat kecanggihan yang berjaya direalisasikan negara Turki, yang mungkin sebilangan kita tidak menyedarinya. Kereta api muatan pertama bernombor 15276 yang membawa barangan eksport yang merentasi dua benua menuju ke China, secara rasmi telah berlepas dari Istanbul.

Laluan sepanjang 8,693 kilometer (km) meliputi 2,323km di Turki, 220km di Georgia, 430km di Azerbaijan, 420km di Laut Kaspia, 3,200km di Kazakhstan dan 2,100km di China.

Kereta api tersebut akan melintasi dua benua, dua laut dan lima negara, jarak 8,693 kilometer dan mengambil masa 12 hari ke China. Melewati Bosporus, terowong Marmaray Istanbul, kereta api akan mengikuti Koridor Tengah Trans-Caspian Timur-Barat melalui landasan kereta api Baku-Tbilisi-Kars.

Kenderaan itu juga akan melalui Istanbul, wilayah Kocaeli Barat Laut, ibu kota Ankara, Sivas Tengah, Kars Timur, dan akan berhenti di Stesen Akhalkalaki di Georgia, seterusnya akan melintasi Azerbaijan dan Kazakhstan sebelum memasuki wilayah Xi’an, China.

"Wisel pertama yang dibunyikan di Cerkezkoy, di mana kereta api berlepas adalah petanda era baru bagi negara Turki,” kata Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Adil Karaismailoğlu (bawah) semasa upacara pelepasan di stesen Kazlicesme di sebelah Eropah Istanbul pada Jumaat, 4 Disember 2020 lalu.

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/7/7d/Adil_Karaismailo%C4%9Flu_%28cropped%29.jpg

‘Kenderaan panjang’ itu dikendalikan dan bekerjasama dengan firma penghantaran rasmi Direktorat Jeneral Keretapi Negara Turki (TCDD) iaitu Tasimacilik AS dan Pasifik Eurasia yang membawa peralatan utama bersama 42 kontena.

"Hari ini untuk pertama kalinya, kereta api kami yang penuh dengan produk eksport menuju ke China," kata Ketua Majlis Pengeksport Turki (TIM), Ismail Gulle.

Kecanggihan pengangkutan global

Sebelumnya, pada tahun 2019 negara-negara Eurasia di Timur Tengah yang terletak di antara benua Eropah dan Asia itu, telah merancang untuk melancarkan kereta api yang membawa barang-barang Turki ke China sebagai sebahagian daripada usaha menggunakan laluan kereta api untuk meningkatkan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara.

Dua negara itu telah mengadakan perbincangan untuk mengaktifkan laluan kereta api tengah, dan mewujudkan peluang baru bagi syarikat-syarikat Turki yang ingin mengeksport barang ke China melalui Inisiatif ‘Belt and Road’.

Turki ketika ini berusaha untuk meningkatkan jumlah perdagangannya dengan China dan mencipta peluang baru untuk eksportnya dengan memanfaatkan sebahagian besar lokasinya di koridor tengah yang meluas dari Beijing ke London yang dikenali sebagai Jalan Sutera, laluan kereta api dari Kazakhstan ke Turki.

Pada November 2019, Turki dan dunia telah menyaksikan detik bersejarah setelah Ankara melancarkan kereta api pertama yang berlepas ke China dan Eropah melalui terowong Marmaray, Bosporus yang berlepas di Kor Casor Trans-Caspian Timur-Barat Tengah yang dipelopori Turki dan landasan kereta api Marmaray.

Peta Laluan Sutera

Laluan Sutera sebenarnya adalah laluan perdagangan aktif yang digunakan antara abad kedua sebelum Masihi dan abad ke-18 yang menghubungkan China dan Eropah melalui Anatolia dan wilayah Mediterranean.

Kereta api China Express secara terus menghubungkan Prague, Republik Czech secara langsung ke Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi, China Tengah, melalui Turki dan sebanyak 10 kereta api telah berjaya beroperasi di laluan China-Turki-Eropah, pada tahun lalu.

Menurut laporan media negara itu, Turki akan terus mengambil langkah yang diperlukan untuk meningkatkan lagi hubungan antara Timur dan Barat. Selain itu, Turki juga terletak di Koridor Tengah yang menghubungkan Beijing dan London dengan cara yang paling menjimatkan.

Apa yang menariknya lagi, kereta api ini mengurangkan tempoh masa perjalanan antara China dan Turki dari 18 hari menjadi 12 hari atas hasil inisiatif Lembaga Teknologi Maklumat dan Komunikasi kereta api negara itu, iaitu dengan mendapat kebenaran merentasi Terowong Marmaray.

Rasionalnya, kereta api ini tidak boleh dilihat hanya sebagai kenderaan transit sahaja. tetapi perlu dilihat kemampuan logistik Turki untuk menghantar barang yang dihasilkan oleh syarikat kecil dan sederhana ke pasaran di seluruh dunia pada umumnya serta ke China khususnya.

Negara itu juga akan memanfaatkan Inisiatif ‘Belt and Road’ yang bernilai satu trilion dolar bagi menangani potensi tiga bilion penduduk di 65 negara yang berbeza lokasi dan geografinya.

Turki adalah sebuah negara global di pusat Eropah dan Timur Tengah dengan sistem pengangkutan moden, ekonomi dan kesinambungan budaya, mengambil langkah tegas untuk menjadi kuasa besar logistik.

Negara yang bersempadan dengan lapan negara ini telah mengambil langkah tegas dengan projek-projek besar, reformasi dan infrastruktur pengangkutan yang telah dikembangkan sejak 18 tahun lalu. Proses ini tentunya sangat penting untuk visi eksport negara Turki pada masa hadapan.

Sama-sama kita saksikan kecanggihan seterusnya, negara manakah yang mengikutinya? Tentunya untuk mencapainya perlukan belanjawan yang besar dan perancangan yang strategik, ia wajar dilakukan bagi merancakkan ekonomi negara dan dunia serta hubungan antara negara sebagaimana sejarah dunia telah mencatatkannya.


ATRIZA UMAR berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.