Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lelaki dikehendaki AS kekal ditahan sementara prosiding ekstradisi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua lelaki rakyat Malaysia yang dikehendaki oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung kesalahan pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu kekal ditahan di penjara sehingga prosiding permohonan ekstradisi mereka didengar di Mahkamah Sesyen, minggu depan.

Ini selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan jaminan bagi ahli perniagaan, Wong Ong Hua, 46 dan penganalisis komputer, Ling Yang Ching, 32, yang akan didakwa berhubung 23 tuduhan di AS termasuk pencurian identiti, penipuan akses peranti, pelanggaran Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer dan pendaftaran nama domain secara salah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan jamin itu selepas mendengar hujahan dari pihak responden (pendakwaan) yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul manakala pihak pemohon (Wong dan Ling) diwakili peguam Datuk Zamani Ibrahim.

Aslam dalam penghakimannya berkata jaminan tidak dibenarkan kerana prosiding bagi permohonan ekstradisi terhadap dua lelaki itu akan berlangsung pada hari Isnin depan, 21 Dis.

“Sekiranya jaminan dibenarkan hari ini, mereka masih perlu melalui tempoh kuarantin selama dua minggu sebelum mereka dibenarkan untuk pulang sedangkan prosiding komital akan berlangsung dalam tempoh itu,” katanya.

Terdahulu Zamani berhujah, kedua-dua anak guamnya memerlukan masa untuk menyelesaikan hal-hal peribadi sebelum mereka diekstradisi ke AS.

“Keluarga mereka telah melantik peguam di AS bagi tawaran pengakuan namun dengan perbezaan waktu 13 jam antara Malaysia dan AS selain keadaan di dalam penjara, agak sukar untuk mereka berhubung dengan peguam.

“Mereka juga telah direman sejak 14 Sept lepas di Penjara Sungai Buloh dan memandangkan keadaan kluster Covid-19 di penjara agak membahayakan, mereka juga berharap dapat diberikan jaminan untuk mengelakkan daripada dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang menjadi kebimbangan pihak responden adalah risiko anak guamnya melarikan diri, bagaimanapun beliau berkata pihaknya bersedia menerima apa sahaja syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah sekiranya jaminan dibenarkan.

“Dengan keadaan sempadan negara yang masih belum dibuka sekarang, pihak kami memberi jaminan bahawa anak guam akan hadir ke mahkamah pada prosiding ekstradisi minggu hadapan,” katanya.

Mohd Ashrof bagaimanapun membantah permohonan itu kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan ikat jamin dalam proses ekstradisi.

“Malaysia menandatangani perjanjian dan mempunyai obligasi terhadap AS serta negara-negara lain yang terlibat dalam perjanjian ekstradisi.

“Kes-kes terdahulu melibatkan permohonan sama juga tidak lagi dibenarkan ikat jamin sejak tahun 2003,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, pihak berkuasa AS meminta kedua-dua suspek untuk diekstradisi ke negara itu dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk mematuhi permohonan itu mengikut Akta Ekstradisi 1992, serta perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan AS.

Pihak polis kemudian memohon perintah reman di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada 11 Sept lepas.

Pada 17 Sept lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata kedua-dua suspek yang didakwa menjalankan perniagaan haram menjual artifak permainan seperti kit dan kredit di Amerika Syarikat telah ditangkap di Perak pada 14 Sept lepas.

- Bernama