Skip to main
Logo Malaysiakini

Gelaran pendakwah selebriti: 'Jangan kait kesalahan peribadi dengan pihak lain'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tidak adil jika sebarang dakwaan kesalahan oleh mana-mana individu dikaitkan dengan pihak lain, menurut Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Mohd Parid berkata demikian ketika mengulas isu dakwaan jenayah seksual yang dihadapi Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, bekas peserta program bercorak keagamaan Dai Pendakwah Nusantara, yang menjadi perhatian ramai mutakhir ini.

Isu tersebut secara tidak langsung menimbulkan kritikan terhadap program keagamaan seumpama itu yang melahirkan ramai kalangan yang digelar "pendakwah selebriti".

Mohd Parid berkata, seharusnya dakwaan kesalahan yang dibuat kalangan pendakwah dikaitkan dengan individu secara peribadi, bukan gelaran yang digunakannya.

"Saya rasa lebih baik nama peribadi yang dikemukakan, kemudian nak sebut dia pernah terlibat mana-mana program pun terpulanglah.

"Ia agar kesalahan peribadi tidak dikaitkan dengan pihak lain. Ia tak adil," katanya ketika ditemui Malaysiakini di ibu pejabat Ikram di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Syed Shah

Dia berkata, al-Quran menyeru manusia agar berlaku adil dan setiap kesalahan, mahupun jika dilakukan oleh pendakwah, tidak seharusnya dibela.

"Tak kisah siapa pun mereka ini yang salah patut dihukum.

"Yang benar, patut mendapat ganjaran disisi Allah SWT begitu juga pengiktirafan daripada masyarakat," katanya lagi.

Minggu lalu, Syed Shah yang lebih dikenali sebagai Dai Syed dihadapkan dengan pertuduhan seks di luar tabii, rogol dan cabul.

Pertuduhan itu dihadapkan di tiga mahkamah berbeza iaitu Mahkamah Majistret Shah Alam, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 10 Dis lalu.

Sebelum dia dihadapkan di mahkamah, dakwaan itu sudah pun hangat diperkatakan di media sosial dan secara tidak langsung mengundang kritikan kepada program realiti bercorak keagamaan.

Memang akan 'meletup'

Bagi juara program Pencetus Ummah musim ketiga Syed Mohd Bakri Syed Ishak, sebarang dakwaan atau isu melibatkan golongan pendakwah selebriti memang akan menarik perhatian ramai.

Apatah lagi memandangkan mereka sememangnya dikenali masyarakat menerusi program di televisyen, katanya.

"Apabila sesuatu perkara itu timbul melibatkan kami, memang dia akan meletup.

"Kebanyakan wartawan mencari kesalahan kami. Kalau ada, dia akan 'tembak'," katanya yang menambah dia memang terkejut apabila mendengar dakwaan terhadap Syed Shah.

Malaysiakini turut menghubungi seorang lagi bekas peserta rancangan itu tetapi dia enggan memberikan sebarang ulasan.

Awal Disember lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan garis panduan bagi penganjuran program realiti agama pada masa depan.

Timbalannya Ahmad Marzuk Shaary pula berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan pendakwah selebriti, antaranya bagi membincangkan isu penyampaian dakwah menerusi status “selebriti”.