Skip to main
Logo Malaysiakini

Arwah reda Allah pilih dia, kata kakak jururawat korban Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Renyai-renyai hujan menambah keheningan suasana di pekarangan Tanah Perkuburan Kampung Nilam Baru, Kota Bharu pagi semalam ketika jenazah Allahyarhamah Mariani Sulaiman diiringi ke liang lahad.

Beberapa petugas menguruskan jenazah manakala ahli keluarga terpaksa reda apabila mengiringi arwah - yang berusia 52 tahun - hanya dengan pandangan dari jauh.

Mariani merupakan seorang petugas barisan hadapan yang menjadi korban terbaru Covid-19.

Kira-kira jam 10.45 pagi, van jenazah tiba turut diiringi jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Wajah sayu keluarga dan sanak saudara yang turut hadir dari jauh di pengebumian jelas mencerminkan kehilangan mendalam.

Mereka hanya dibenarkan melihat dari jarak kira-kira 200 meter urusan itu dilangsungkan dengan tertib dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa.

Pemergian ketua jururawat di unit rawatan rapi (ICU) pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu sudah pasti satu kehilangan besar.

Baik, senang tunjuk ajar

Ia dirasakan bukan saja dalam kalangan keluarga dan kakitangan hospital, bahkan kepada negara atas bakti dan jasa kepada masyarakat.

Kakak arwah, Nariah Sulaiman, 65, berkata Mariani yang juga anak kelima daripasa sembilan beradik itu setiasa menjadi tulang belakang keluarga dan rujukan dalam banyak hal.

"Kami sekeluarga memang selalu berhubung dan rapat, arwah adalah tempat kami merujuk kalau ada apa-apa perkara yang perlu dibincang.

"Apabila dia tahu dia dijangkiti, dia kata kena reda sebab Allah pilih dia.

"Pemergiannya mengejutkan kami sekeluarga, apa pun ini sudah ketentuan Allah," katanya dengan nada sebak ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang jururawat HUSM meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 malam kelmarin. 

Sementara itu bagi rakan sekerjanya pula menyifatkan, Mariani seorang jururawat berdedikasi dan senang didekati selain tidak lokek berkongsi pengalaman.

"Arwah seorang yang baik, senang memberi tunjuk ajar kepada jururawat yang lebih muda.

"Di sisi lain, arwah seorang baik sebagai kawan dan kakak walaupun berkhidmat di unit berlainan," katanya yang enggan disiarkan namanya atas faktor tertentu.

Seorang bekas rakan sekerjanya, Hanisah Mamat, 50-an, pula berkata, arwah Mariani seorang yang baik dan tegas.

"Semoga damai di sana, bekas teman sebilikku Mariani Sulaiman. Walaupun sekejap (bersama), (dia) seorang yang baik dan tegas, berkomitmen tinggi dalam menjalankan tugas," katanya dalam satu hantaran ucapan takziah di Facebook.