Sidang Dewan Rakyat tangguh, 10 RUU lulus
PARLIMEN | Selepas 29 hari bersidang, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 melabuhkan tirai hari ini dengan 10 rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi peruntukan belanjawan tahun hadapan.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020; dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.
Persidangan kali ini juga meluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020; dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.
Sementara itu, bacaan kali kedua dan ketiga bagi lima rang undang-undang dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.
Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat, rang undang-undang yang ditangguhkan ialah Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020; Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Lembaga Angkasa Malaysia 2020; dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020 bagi bacaan kedua hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia membabitkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM20 bilion.
“Anggaran perbelanjaan tambahan melibatkan RM14 bilion bagi menampung pemberian Bantuan Prihatin Nasional; RM4 bilion untuk menampung perbelanjaan berkaitan Covid-19; keperluan melanjutkan Program Subsidi (RM1.5 bilion) dan pemberian Geran Khas Prihatin (RM500 juta),” katanya.
Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu turut mencadangkan agar semua bantuan insentif yang dinyatakan di dalamnya disalurkan seawal Januari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri pula ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 berkata ia dibuat bagi memperkemas pelaksanaan dan layanan cukai jualan.
Ia antara lain bagi menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.
Sebelum menangguhkan sidang terakhir bagi 2020, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mewakili dua timbalannya menzahirkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan ahli parlimen, pegawai kerajaan terutama kakitangan parlimen dan media massa bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh 29 hari, biarpun berdepan Covid-19.
“Seperti semua sedia maklum persidangan kali ini diadakan ketika kes wabak Covid-19 semakin meningkat dan beberapa perubahan terpaksa dilakukan berkaitan urusan dewan ini demi menjamin kesihatan dan keselamatan kita.
“Saya berdoa kita semua dilindungi olehNya dan berharap wabak ini tidak menjadi ancaman kepada kita lagi,” katanya.
Azhar juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun baru 2021 kepada ahli parlimen dan warga parlimen yang menyambut perayaan itu, selain memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan, terkasar bahasa dan meninggikan suara sepanjang persidangan berlangsung.
Persidangan Dewan Rakyat seterusnya akan diadakan pada suatu tarikh yang ditetapkan kelak.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai