Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis soal siasat MP Klang isu forum Sosma

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dipanggil untuk disoal siasat di ibu pejabat polis di Bukit Aman, kata wakil rakyat DAP itu di Facebook hari ini.

Katanya, soal jawab pada pagi esok adalah mengenai forum berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang diadakan pada 25 November tahun lalu.

Difahamkan, Charles hadir sebagai ahli panel di forum yang dianjurkan oleh kumpulan hak asasi manusia Suaram sebagai sebahagian daripada kempen untuk mendesak kerajaan memansuhkan Sosma.

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik sebelum ini telah mengancam untuk saman Charles atas ucapannya di forum yang sama.

Zakir telah menuduh Charles memfitnahnya dengan mengaitkannya dengan penangkapan individu yang dituduh mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sementara peguam yang mewakili Charles mengatakan bahawa kenyataan itu tidak memfitnah.

Sebelum forum tersebut, polis juga tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa orang termasuk Charles atas tuduhan terdapat "daulah terpendam" dalam kerajaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Mior Faridalathrash telah mengatakan pada 2 Disember tahun lalu bahawa siasatan sedang dilakukan bersamaan dengan beberapa tuduhan lain.

Ini termasuk dakwaan yang mengatakan bahawa penangkapan terhadap 12 suspek berkaitan dengan LTTE pada Oktober 2019 berkaitan dengan Zakir.

Pada Dis tahun lalu, polis Bukit Aman turut menyoal siasat pengarah Eksekutif Bukit Aman Sevan Doraisamu berhubung forum sama, di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.