Skip to main
Logo Malaysiakini

4 polis suspek edar dadah dalam lokap ditahan semula

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Empat daripada sembilan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan seorang awam yang dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah di dalam lokap, ditahan semula pada 10 Dis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata anggota berpangkat koperal dan lans koperal berumur 28 hingga 36 tahun dan orang awam berumur 23 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di IPD berkenaan pada 9 pagi.

Katanya, kelima-lima suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 setelah tamat menjalani tempoh tahanan reman pada 3 hingga 10 Dis lepas di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, lima lagi anggota yang turut menjalani tempoh reman yang sama, dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

“Kita tangkap 10 suspek iaitu sembilan anggota dan seorang awam dan daripada jumlah ini, lima anggota kita bebaskan sebagai saksi pendakwaan manakala empat anggota dan seorang awam ditahan semula dan disiasat di bawah LLPK,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Pada 29 Nov lepas, polis Johor menahan sembilan anggota daripada IPD berkenaan termasuk seorang wanita, merangkumi konstabel dan koperal yang bertugas di lokap berkenaan, serta seorang wanita kerana disyaki mengedar dadah di dalam lokap itu.

Polis turut merampas sejumlah dadah iaitu 38.65 gram syabu, 42.25 gram heroin serta sejumlah tembakau dari lokap tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata polis Johor menahan seramai 296 individu terlibat dalam kes pinjaman wang tanpa lesen atau along, sekali gus menumpaskan sembilan sindiket sejak awal Januari hingga kini.

Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 338 kertas siasatan dibuka melibatkan kejadian jenayah yang dilakukan kumpulan along.

Beliau berkata sembilan sindiket along terdiri daripada 40 lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berumur antara 23 hingga 46 tahun itu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) iaitu 10 daripadanya dikenakan perintah reman selama dua tahun, perintah pengawasan dua tahun (21) dan 10 lagi masih dalam tahanan reman POCA.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan terlibat dalam kegiatan along itu didapati mengiklankan dan membuat promosi pinjaman tanpa lesen serta melakukan pelbagai perbuatan khianat seperti simbah cat, khianat dengan api serta ugutan jenayah.

Sementara itu, Ayob Khan berkata sejak 2018 sehingga kini, pihaknya telah menahan 31 ahli kongsi gelap berumur 22 hingga 56 tahun di bawah POCA bagi kes kegiatan gangsterisme di negeri ini.

- Bernama