Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih puji Adun Perak, seru dijadikan teladan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memuji persetujuan kerjasama di antara parti pemerintah dan parti pembangkang di Perak.

Dalam kenyataan media hari ini, Bersih mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan ketua pembangkang negeri itu, Abdul Aziz Bari, selain Adun negeri yang disifatkan mengutamakan kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam mencapai persetujuan keyakinan dan pembekalan.

"Persetujuan ini mirip kepada semangat persetujuan keyakinan dan pembekalan (Confidence and Supply Agreement).

"Ini mungkin merupakan persetujuan keyakinan dan pembekalan di antara parti pemerintah dan parti pembangkang yang pertama dalam sejarah politik Malaysia.

"Ini juga merupakan norma baru dan amalan politik matang yang perlu dibiasakan oleh parti-parti politik dalam era baharu politik Malaysia untuk menangani persaingan politik yang amat ketat dalam bilangan kerusi yang dipegang oleh parti-parti politik masing-masing," kata kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 itu.

Tambah kenyataan itu, Bersih 2.0 sebelum ini sememangnya menyeru parti-parti politik memberi pertimbangan untuk mencapai persetujuan keyakinan dan pembekalan sebagai salah satu langkah penyelesaian demokratik kepada polemik politik yang dihadapi oleh negara pada 25 Oktober 2020 setelah berkali-kali sokongan keyakinan perdana menteri Muhyiddin Yassin dipersoalkan/

"Teladan yang Adun Perak tunjukkan boleh menjadi pelita untuk menyuluh jalan ke depan politik negara agar ahli-ahli politik dapat mengamalkan politik yang sihat, matang dan berpaksikan rakyat.

"Bersih mengalu-alukan reformasi yang dipersetujui antara kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di Perak untuk mencapai kestabilan politik setidak-tidaknya sehingga ke akhir penggal DUN tersebut," katanya.

NGO itu juga menyorot bahawa antara reformasi yang mereka cadangkan sebelum ini yang akan dilaksanakan di Perak adalah peruntukan yang saksama untuk semua Adun, penubuhan jawatankuasa pilihan khas DUN agar Adun bukan eksekutif kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pembentukan dasar dan tidak menjanjikan jawatan GLC sebagai hadiah kepada Adun untuk balasan sokongan kepada kerajaan.

Semalam, Adun Perak termasuk dari barisan pembangkang memberikan sokongan sebulat suara kepadaa Saarani dalam usul keyakinan.

Ahli Parlimen Aulong, Nga Kor Ming dari DAP berkata keputusan itu dibuat selepas pihak pembangkang membuat perjanjian dengan Saarani agar kerajaan memperkenalkan beberapa pembaharuan institusi.

Ini termasuk memastikan dana pembangunan kawasan DUN yang sama untuk semua anggota dewan, pengiktirafan rasmi untuk jawatan ketua pembangkang, dan memberi mandat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri diketuai oleh seorang Adun pembangkang.