Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Macron positif, pemimpin Eropah jalani kuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Sejumlah pemimpin Eropah terpaksa 'berkurung' untuk seketika selepas ujian saringan ke atas Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menunjukkan dia positif Covid-19.

Status Macron, 42, itu disahkan melalui kenyataan dibuat Elysée Palace hari ini.

"Presiden republik ini didapati positif Covid-19 hari ini," kata kenyataan dibuat pejabat kediaman rasmi pemimpin Perancis itu.

Menurutnya lagi ujian dijalankan sebaik saja Macron menunjukkan simptom pertamanya. Buat masa ini Macron meneruskan tugasnya sambil menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Isteri Macron, Brigitte Macron, 67, juga menjalani kuarantin walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Sebelum itu Macron menghadiri beberapa majlis beprofil tinggi termasuk sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU).

Menurut laporan CNN, berikut adalah antara pemimpin Eropah yang menjadi kontak rapat Macron dalam tempoh beberapa hari lalu.

  • Pengerusi EU, Charles Michel; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi General Angel Gurría. Semua mereka bertemu Macron minggu ini. Ujian saringan Sanchez adalah negatif namun dia tetap menjalani kuarantin.
  • Perdana Menteri Portugal António Costa, 59, membatalkan semua lawatan rasminya dan sedang menunggu keputusan saringan sambil menjalani kuarantin. Dia menghadiri makan tengah hari dengan Macron di Paris pada Rabu.
  • Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo dan Perdana Menteri Luxembourg, Xavier Bettel. Kedua-duanya menjalani kuarantin.
  • Perdana Menteri Ireland Micheal Martin sudah disahkan negatif namun masih mengehadkan kontaknya.
  • Perdana Menteri Perancis Jean Castex, 55, dan jurucakap parlimen, Richard Ferrand, 58.

Setakat ini tidak dapat dipastikan bagaimana Macron dijangkiti wabak tersebut namun pejabatnya memberitahu usaha sedang dijalankan bagi mengesan kontak rapat yang menjadi punca.

Pada minggu lalu Macron - bersama hampir semua pemimpin EU - menghadiri sidang kemuncak badan itu di Brussels, Belgium.

Castex tidak menunjukkan sebarang simptom dan dikesan negatif namun dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan kuarantin kendiri.

Dia sepatutnya mengumumkan dasar vaksin kerajaan di parlimen hari ini. Dengan apa yang berlaku sekarang tugas itu akan dijalankan Menteri Kesihatan Perancis Olivier Véran

Perancis baru saja menamatkan perintah berkurung selama enam minggu dan menggantikannya dengan perintah kawalan yang lebih longgar sebagai langkah mengekang Covid-19.

Kira-kira 2.5 juta penduduk negara itu sudah dijangkiti wabak berkenaan dan 59,733 orang maut kerananya.