Skip to main
Logo Malaysiakini

Reputasi pembangkang mesti dipelihara, kata MP Warisan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan kegagalan Presiden PKR Anwar Ibrahim memperolehi sokongan majoriti yang "kukuh dan meyakinkan” bagi menyekat kerajaan Perikatan Nasional (PN) seorang ahli parlimen Warisan berpendapat pembangkang kini perlu memelihara reputasinya.

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkata pandangan itu bukan saja datang daripada dirinya sendiri malah turut dikongsi pihak lain termasuk salah seorang Adun DAP di Sabah.

Dalam kenyataannya malam tadi Isnaraissah berkata seruan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, untuk pembangkang mengubah kepemimpinan bukanlah bertujuan untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, menurut Isnaraissah, Warisan hanya menyuarakan keprihatinan mereka terhadap prestasi pembangkang ketika ini dan perlunya reputasi tersebut dipelihara berdasarkan kredibiliti.

“Tindakan berterusan seperti (dakwaan) akan mengambil alih kerajaan pada 16 Sept, dakwaan mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup dengan majoriti yang kukuh dan meyakinkan, taktik membiarkan belanjawan diluluskan pada bacaan kedua, cubaan untuk menggagalkan belanjawan di peringkat jawatankuasa dan lain-lain lagi, seperti yang diumumkan dalam beberapa sidang media dan termasuk ketika menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong - ia tentu akan mencemar kredibiliti dan reputasi parti pembangkang lain.

“Ini akan membuatkan pengundi berasa kecewa,” kata Isnaraissah.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada Anwar yang juga ketua pembangkang. Ahli parlimen Port Dickson itu pernah mengumumkan dia mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Dakwaan jadi bahan ejekan

Bagaimanapun, Anwar gagal membuktikannya, termasuklah pada minggu lalu ketika pembangkang tewas pada undian terakhir bagi Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga dengan jumlah undian 111-108.

Beberapa hari lalu pula Mohd Shafie membuat desakan agar pembangkang mengubah kepemimpinannya.

Semalam, mesyuarat Majlis Presiden PH dibatalkan selepas pemimpin Amanah dan DAP membuat kenyataan bersama mengenai langkah ke depan pembangkang.

Dalam kenyataan itu Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng mengingatkan agar PH tidak berharap kepada ahli parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka perolehi.

Adun Luyang dari DAP, Phoong Jin Zhe, pula berkata bahawa dakwaan Anwar telah mengecewakan rakyat.

"Kekecewaan terbesar rakyat terhadap PH dipengaruhi oleh amalan politik yang telah lapuk.

"Pemimpin pembangkang yang menyatakan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti yang ‘kukuh dan meyakinkan' telah diejek sebagai seseorang yang tidak boleh dipercayai.

“Pemimpin politik kanan yang lain pula berbohong untuk meraih kuasa dan mengeluarkan komen perkauman dan menyentuh agama dilihat semakin teruk sejak akhir-akhir ini," katanya.