Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Klang: Siasatan forum Sosma buang masa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari DAP dipanggil ke ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini untuk disoal siasat berhubung forum yang diadakan tahun lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas disoal siasat, Ahli Parlimen Klang itu menyifatkan siasatan itu membuang masa.

"Saya bertanya kepada petugas kenapa polis memanggil saya setelah hampir 12 bulan. Dia mengatakan ia adalah sebahagian daripada siasatan mereka dan mereka boleh memanggil saya lagi bila-bila masa saja.

"Saya rasa siasatan ini sedikit bersifat satu pemburuan (witch hunt) dan membuang masa saya dan juga masa polis. Tidak ada keperluan untuk siasatan ini.

"Sekiranya mendesak, polis seharusnya melakukan siasatan ini lebih awal dan tidak menunggu satu tahun dan buang mereka dan masa saya juga," tambahnya.

Forum pada November 2019 itu dianjurkan oleh Suaram susulan penahanan 12 orang, termasuk ahli politik DAP, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) kerana didakwa sebagai penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

LTTE ketika ini sudah tidak lagi berfungsi.

Di forum itu, Charles telah menuduh polis mengamalkan pilih kasih dan mendakwa bahawa undang-undang tertentu digunakan untuk kepentingan politik.

Ahli politik pembangkang itu juga mengatakan bahawa polis telah mengajukan kepadanya 18 soalan dan menunjukkan kepadanya dua klip video ucapannya.

Peguamnya, John Fam, memberitahu wartawan bahawa beberapa persoalan kini menjadi masalah di mahkamah sivil yang berkaitan dengan saman fitnah yang diajukan terhadap anak guamnya dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy.

"Ada beberapa soalan tertentu yang mempunyai kaitan dengan saman sivil. Oleh itu, kami memilih menjawabnya di mahkamah," tambah Fam.

Selain Charles, Sevan Doraisamy dari Suaram juga dipanggil sebelumnya, untuk disoal siasat mengenai forum tersebut.

Sevan berkata, Charles sebagai ahli parlimen dan Suaram sebagai organisasi masyarakat sivil, berhak membincangkan hal-hal kepentingan negara kepada orang ramai.